Penganjuran RWMF 2021 bergantung kepada situasi semasa COVID-19
Astro Awani
Januari 28, 2021 20:01 MYT
Januari 28, 2021 20:01 MYT
KUCHING: Penganjuran festival muzik terbesar di Sarawak, Rainforest World Music Festival (RWMF) 2021 masih belum diketahui statusnya.
Sama ada berlangsung atau sebaliknya, ia bergantung kepada situasi semasa COVID-19 di Sarawak selain merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, sekiranya situasi masih tidak mengizinkan, terdapat perancangan untuk menganjurkannya secara maya.
“Buat masa ini belum ada sebarang perancangan untuk menangguhkan acara itu tetapi bergantung kepada keadaan COVID-19 di negeri ini.
“Kita juga ada perancangan untuk menganjurkannya secara maya. Bagaimanapun, ia satu pengalaman berbeza kerana suasana muzik itu tidak dapat dibawa bersama,” kata Karim.
Untuk rekod RWMF merupakan festival muzik tahunan yang diadakan sejak 1998 di Kampung Budaya Sarawak dan berjaya menarik hampir 24 ribu pengunjung ketika penganjurannya pada 2019.
Penganjurannya pada 2020 dibatalkan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
#RWMF 2021
#festival muzik terbesar
#Pelancongan Sarawak
#COVID-19 di Sarawak
#Abdul Karim Rahman Hamzah
#JPBN Sarawak