Pengakhiran hubungan buat pasangan 'belangkas' Gigi Hadid dan Zayn Malik
Asyraf Roslan
Januari 3, 2019 12:45 MYT
Januari 3, 2019 12:45 MYT
NAMPAKNYA pengakhiran hampir pasti buat pasangan 'belangkas' super model Gigi Hadid dan juga pelantun lagu “Pillow Talk”, Zayn Malik.
Seperti pasangan lain, pasangan ini juga tidak terlepas mengalami pasang surut dalam hubungan mereka.
Terbaharu, pasangan ini dilaporkan sudah berpisah buat kali kedua dan ini merupakan langkah terbaik buat pasangan ini.
Menurut portal E! Online, ada sumber yang mengesahkan pasangan ini sudah berpisah sejak November tahun lalu.
BACA: Zayn Malik keluar Islam?
Sumber tersebut juga turut mengesahkan penyanyi yang pernah mengangotai kumpulan One Direction itu dan juga model Victoria Secret ini ingin fokus dalam karier masing-masing, kerana bagi mereka ini merupakan jalan yang terbaik bagi hubungan mereka.
Zayn juga dikatakan tidak lagi menjadi pengikut bekas teman wanitanya itu di Instagram. Melalui temubual Zayn bersama GQ pada Julai tahun lalu, Zayn menegaskan dia tidak mahu masyarakat terlalu memikirkannya.
“Kami sudah dewasa dan kami merasakan sesuatu hubungan tidak perlu dilabelkan untuk menjadi sesuatu yang diharapkan oleh masyarakat,” katanya kepada majalah GQ.
Pasangan ini pernah berpisah Mac tahun lalu selepas dua tahun bersama, namun kembali bersama sebulan selepas itu.