Penerbit drama 'Cinderella' Mohd Noor Kadir meninggal dunia
Gempak
Julai 29, 2022 10:40 MYT
Julai 29, 2022 10:40 MYT
PENERBIT dan Pengarah Mohd Noor Kadir, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.57 pagi Jumaat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Difahamkan Allahyarham, 69, meninggal dunia akibat kanser prostat tahap empat.
Berita pemergiannya disahkan oleh sahabat baiknya yang juga produser terkenal, Datuk Yusof Haslam kepada BH Online.
Menurut Yusof, dia juga terkejut dengan berita pemergian sahabat baiknya.
"Arwah menjalani pembedahan jantung, bulan lalu. Arwah sudah balik rumah, namun, dikejarkan ke HKL semula selepas jantungnya bengkak.
"Jumaat lalu, saya ada melawatnya. Keadaannya agak lemah, tetapi masih boleh melayan saya berbual.
"Ikutkan, saya mahu melawat arwah hari ini (Jumaat), saya memang tergerak hati nak menjenguknya lagi. Namun, Allah lebih menyayangi arwah.
"Isteri, Datin Patimah Ismail mengejutkan saya sedang tidur selepas mendapat panggilan telefon anak arwah kira-kira jam 2.15 pagi," katanya
Jenazah dibawa ke Madrasah Iktisamiah Taman Melati untuk urusan mandi jenazah dan solat jenazah pada jam 8 pagi.
Arwah akan dikebumikan di Raudhatul Sakinah KL-KARAK (Taman Selasih).
Terdahulu, Allahyarham Mohd Noor yang juga merupakan Pengarah Urusan Kuasatek Pictures Sdn Bhd, terkenal dengan pelbagai drama popular seperti Cinta Antara Benua, Cinderella, Romeo & Juliet dan Salam Taj Mahal. -Gempak