Pendidikan dan penguatkuasaan penting untuk hapus cetak rompak - Hatta Azad Khan
Irwan Muhammad Zain
Mac 4, 2021 17:50 MYT
Mac 4, 2021 17:50 MYT
KUALA LUMPUR: Usaha menghapuskan cetak rompak harus bermula dengan memberi pendidikan kepada rakyat tentang perkara tersebut, kata pensyarah dan pengarah filem, Prof Hatta Azad Khan.
Menurut Hatta, dengan mendidik masyarakat awam, mereka akan lebih memahami kesan dari membeli barangan cetak rompak.
Jelas beliau masyarakat perlu diberi kefahaman tentang apa itu cetak rompak dan kesannya kepada penggiat industri kreatif.
"Kita kena mulakan dengan pendidikan, berikan kefahaman tentang apa sebenarnya yang disebut sebagai cetak rompak.
"Kalau diberikan pengajaran awal dari sekolah, saya rasa orang semua akan faham akan faham tentang masalah cetak rompak ini," katanya kepada Astro AWANI.
Selain pendidikan, Hatta juga menekankan kepentingan penguatkuasaan dalam mencegah cetak rompak.
Jelas beliau, dua perkara tersebut merupakan elemen penting yang perlu diberi keutamaan untuk menghapuskan cetak rompak.
"Pada saya, kalau penguatkuasaan itu kuat, orang takut hendak lakukan ativiti cetak rompak ini, walaupun pada zaman digital sekarang.
"Kalau kita lihat, jarang sekali kita dengar orang yang buat cetak rompak dibawa ke mahakamah, disaman sebagainya, jarang sekali kita dengar. Jadi mereka-mereka ini merasakan bahawa mereka bebas untuk buat apa sahaja," katanya lagi.
Baru-baru ini, seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah memiliki enam kotak media yang mempunyai perisian tidak sah mengikut Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#filem
#muzik
#pendidikan
#penguatkuasaan
#Cetak rompak
#Hatta Azad Khan
#Akta Komunikasi dan Multimedia