Pendakwaan mahu teruskan kes Hafidz Roshdi cederakan bekas isteri

Sinar Harian
Ogos 13, 2024 07:48 MYT
Hafidz (dua dari kiri) hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Selasa bagi prosiding kes mencederakan bekas isterinya, Mac tahun lalu. - Foto Sinar Harian
KUALA KUBU BHARU: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Selasa bahawa pihaknya berhasrat untuk meneruskan kes pelakon Hafidz Roshdi yang didakwa mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, dengan perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan berkata, ia selepas pihaknya menerima arahan untuk meneruskan kes terhadap Hafidz, 30.
“Dalam prosiding lalu, mahkamah menetapkan prosiding ini untuk status tarik balik laporan polis oleh Nurul Shuhada Mat Shukri selaku pengadu.
“Oleh itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes ini,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili hero drama ‘Tundukkan Playboy Itu’ berkata, pihaknya terperanjat dengan arahan yang telah diterima pendakwaan, namun menghormati perkara tersebut.
Menurutnya, ini kerana pengadu telah menarik balik laporan polis berhubung kes terbabit pada 6 Julai lalu.
“Pengadu (Nurul Shuhada) telah menyatakan dengan jelas, bahawa dia tidak mahu meneruskan kes terhadap Hafidz.
“Oleh itu, demi keadilan kami berhasrat untuk mengemukakan representasi kepada AGC (Jabatan Peguam Negara),” kata peguam itu.
Beliau kemudiannya memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu untuk keputusan representasi berkenaan, yang akan dilampirkan bersama surat penarikan balik laporan polis oleh pengadu.
Menurutnya, pembelaan memohon mahkamah memberi masa selama dua bulan untuk mendapatkan status terkini daripada AGC.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim, Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret, menetapkan status representasi berkenaan pada 14 Oktober depan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Akberdin berkata, pembelaan akan mengemukakan representasi kepada AGC supaya semua pertuduhan terhadap anak guamnya ditarik balik.
Dalam prosiding ini, Nurul Shuhada tidak hadir di mahkamah.
Pada 13 Mac 2023, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya (ketika itu) Nurul Shuhada, 30, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.
Pelakon itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada jam 3.22 pagi, 2 Mac lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Pada 27 Julai tahun sama, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu. -- Sinar Harian
#Hafidz Roshdi #Nurul Shuhada Mat Shukri #mencederakan bekas isteri #pihak pendakwaan