JIKA ada satu pendapat yang ingin didengari sebelum para peminat berpusu-pusu ke pawagam untuk menonton Star Wars: The Force Awakens, sudah tentu pendapat itu milik George Lucas yang bertanggungjawab memulakan francais filem dengan kutipan tertinggi di dunia itu pada tahun 1977.

Menurut The Hollywood Reporter, Lucas dikatakan telah menonton filem terbaru garapan JJ Abrams dan ‘menyukainya’.

Lucas, yang telah menjual syarikatnya Lucasfilm kepada Disney pada tahun 2012, mendedahkan November lalu bahawa pertemuan beliau dengan wakil Disney ketika filem Star Wars terbaharu itu di peringkat perancangan tidak membuahkan hasil yang baik.

Beliau telah melontar beberapa idea kepada eksekutif Disney berkenaan hala tuju filem ketujuh francais Star Wars itu namun ditolak. Menurut beliau, mereka meneliti idea tersebut dan kemudian berkata, “kami sebenarnya ingin buat filem untuk peminat.”

“Mereka tidak sedar bahawa bahawa (francais Star Wars) ini adalah drama keluarga, tentang masalah keluarga — ini bukan tentang kapal angkasa. Tetapi mereka tidak terima cerita saya dan nak buat hal sendiri. Jadi saya putuskan, biarlah saya ikut jalan saya dan mereka ikut jalan mereka.”


Menurut pengarah Lucasfilem, Kathleen Kennedy, hal ini pastinya sukar buat Lucas yang sudahpun terlibat sepenuhnya dalam enam filem Star Wars sebelumnya.

“Sukar buat Lucas untuk menyaksikan perkembangan ini tanpa penglibatan beiau sendiri, dan dalam masa yang sama, beliau tidak mahu terlibat lagi,” ujar Kennedy.

Awal minggu ini, Lucas memberitahu Washington Post dia belum menonton filem itu dan lebih baik baginya untuk tidak terlibat langsung dalam pembikinannya.

“Saya tahu saya tidak boleh terlibat. Saya hanya akan menyusahkan mereka yang lain. Saya akan menyeksa diri sendiri. Saya akan rosakkan visi, J.J. (Abrams) ada visi, dan itu visinya sendiri.”

Lucas kini menyertai kumpulan individu elit yang sudah menonton versi lengkap Star Wars: The Force Awakes; termasuklah Harrison Ford, Steven Spielberg, dan beberapa orang eksekutif tertinggi Disney.

Star Wars: The Force Awakens menyaksikan J.J. Abrams mengarahkan lakon layar karyanya sendiri bersama Lawrence Kasdan. Filem ini dilakonkan bintang asal Ford, Carrie Fisher, Mark Hamill serta pendatang baru John Boyega, Daisy Ridley, dan Adam Drivers.

Filem ini akan menemui peminat di Malaysia tahun ini pada 17 Disember.