Penat dengan politik Bollywood punca Priyanka Chopra bawa diri
Agensi
Mac 29, 2023 20:41 MYT
Mac 29, 2023 20:41 MYT
LOS ANGELES: Pelakon terkenal Priyanka Chopra Jonas akhirnya membuka mulut berkongsi kisah dengan orang ramai penyebab kenapa dia meninggalkan industri Bollywood.
Memetik CNN, Chopra Jonas menyifatkan kehadirannya dalam industri Bollywood seolah ‘ditolak’ ke satu sudut ketika itu.
Dalam sebuah temubual di podcast “Armchair Expert”, aktres berusia 41 tahun itu 'penat' dengan permainan politik industri Bollywood.
Bintang “Matrix Resurrections” itu juga berasa kecewa dengan penerimaan penggiat industri yang tidak memberinya peluang uji bakat malah ada segelintir pihak seolah tidak senang dengan kehadirannya.
“Saya tidak pernah kongsikan hal ini sebelum ini,” katanya.
Mengaku lelah dengan keadaan, isteri kepada Nick Jonas ini mengambil peluang terbang ke Amerika dan bekerja dengan beberapa penggiat industri muzik terkenal sehingga berjaya menandatangani perjanjian dengan Interscope Records sebagai penyanyi pada awal 2010.
Namun selepas bekerja dengan beberapa penyanyi rap antaranya Pitbull dan Will.i.Am, Chopra Jonas berkata dia menyedari bahawa dia lebih sesuai untuk menjadi pelakon.
Dia mula mengejar peranan di Hollywood kerana berasa berdepan dengan masalah mendapat peluang membawa watak diidamkan di India.
Selepas pertemuan dengan eksekutif pencarian pelakon stesen televisyen ABC, Chopra Jonas mengikuti uji bakat untuk rancangan drama bertema perisik berjudul, "Quantico."
“Saya membaca skrip supaya saya tahu apa rentak drama itu malah saya bekerja dengan jurulatih lakonan,” katanya yang membawa watak sebagai Alex Parrish.
Chopra Jonas mendapat peranan dan membintangi drama bersiri "Quantico" sebagai FBI untuk tiga musim drama bersiri itu dari 2015 dan 2018.