Penari bukan lagi sekadar tempelan
Ian Johan Ariff
November 9, 2017 13:38 MYT
November 9, 2017 13:38 MYT
Penari dan koreografer muda, Faruq Suhaimi mahu orang ramai mengubah persepsi bahawa penari adalah sekadar tempelan dalam sesuatu persembahan mahupun klip video.
Itulah yang usaha yang dilakukannya bersama-sama dengan sekumpulan penari muda yang lain untuk memastikan penari diletakkan sama taraf dengan penggiat seni lain.
Bagi merealisasikan impian itu, Faruq bersama koreografer muda, Ahmad Zaidyansjah dan Nur Syafiqah Najwa dari 2Twenty2 Studio menganjurkan pertunjukkan tarian fusian bertajuk Co-Alescence.
“Untuk ubat persepsi penari kita perlu ada anugerah untuk penari dan koreografer terbaik. Kita juga bukan lagi di belakang Ayda Jebat (penyanyi) tetapi kita diletakkan sebagai kumpulan Budak Joget dan Ayda Jebat,” kata Faruq.
Co-Alescence merupakan pertunjukkan tarian tiga hari bermula semalam di DPAC, Damansara Perdana menggabungkan enam jenis tarian moden dan tradisional.
Ia menampilkan penari yang pernah memenangi pelbagai kejuaraan di Kuala Lumpur seperti Budak Joget, 2Twenty2 Squad, Walawei Crew, Kami Tari Family dan rakan-rakan dari ASWARA dan Swatari.
Faruq bersama rakannya seperjuangannya Fazrin Zainudin atau lebih dikenali sebagai Fuzz Wayne merupakan dua koreografer tempatan terkenal dalam tarian urban atau hip-hop.
Antara pencapaian terbaik mereka adalah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Hip Hop International di Los Angeles, Amerika Syarikat dan tempat kedua di World Supremacy Battleground di Sydney, Australia.
Sementara, Zaidy dan Syafiqah baru sahaja memenangi empat pingat emas dan satu perak di Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat Julai lalu.
Cabaran kini ialah untuk memastikan penari dan koreografer mendapat layanan dan upah yang setimpal dengan artis tempatan yang lain.
#2Twenty2 Squad
#Ahmad Zaidyansjah
#Aswara
#Ayda Jebat
#Budak Joget
#Co-Alescence
#Damansara Perdana
#DPAC
#Faruq Suhaimi
#Fazrin Zainudin
#Fuzz Wayne
#Kami Tari Family
#koreografer
#Nur Syafiqah Najwa
#penari
#Swatari
#Walawei Crew
#WCOPA
#World Supremacy Battleground