Penari balet terkenal dunia maut terjatuh dari balkoni ketika hisap rokok
Gempak
November 18, 2024 12:10 MYT
November 18, 2024 12:10 MYT
DUNIA tarian balet kehilangan seorang penari terbaik, Vladimir Shklyarov selepas dia diumumkan meninggal dunia pada Sabtu.
Shklyarov dilaporkan maut selepas terjatuh daripada bangunan lima tingkat. Penari balet yang berasal dari Rusia itu berusia 39 tahun sewaktu kejadian berlaku, umum wakil daripada rumah opera, The Mariinsky Theatre di St. Petersburg, Rusia.
Wakil The Mariinsky Theatre, Anna Kasatkina menerusi perkongsian di Instagram memberitahu kematian Shklyarov tidak mempunyai unsur jenayah.
Penari yang sudah terlibat dengan banyak persembahan termasuk Swan Lake, Sleeping Beauty, The Nutcracker, Romeo and Juliet, Don Quixote dilaporkan maut kerana kemalangan tragis, lapor Parade.com.
“Kami kehilangan permata yang sangat berharga di Mariinsky Theater,” ujar Kasatkina mengenai Shklyarov yang telah berkhidmat selama 20 tahun.
Sementara itu rakan penari balet, Irina Bartnovskaya memberitahu Telegram Shklyarov telah keluar ke balkoni untuk mengambil angin dan menghisap rokok sebelum hilang keseimbangan dan terjatuh sebelum diumumkan meninggal dunia.
Bartnovskaya malah menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘bodoh’ dan tidak sepatutnya berlaku.
Sebelum meninggal dunia, Shklyarov diketahui berdepan dengan kecederaan tulang belakang dan mengambil ubat tahan sakit. Dia dijadualkan menjalani pembedahan pada minggu ini. - Gempak