Penantian 15 tahun, konsert sulung Joe Flizzow 15 Julai depan

Faida Rahim
Mei 10, 2023 17:43 MYT
Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak bakal membawakan rangkaian lagu dalam album baharunya berjudul Johan. - Gambar/ Instagram Joe Flizzow
SELEPAS 15 tahun bergerak secara solo, penyanyi hip hop terkemuka Joe Flizzow bakal mengadakan konsert solo pertamanya di JioSpace, Petaling Jaya, pada 15 Julai depan.
Penyanyi berusia 44 tahun ini ketika ditemui Astro AWANI menyifatkan peluang mengadakan konsert itu sebagai satu penghormatan buatnya.
“Meskipun saya membesar di Subang Jaya tetapi Petaling Jaya, bandar yang sangat dekat dengan jiwa saya.
“Kedua, saya terharu ‘dilamar’ oleh pihak JioBuddy yang merupakan sahabat baik saya, Sean yang berusaha menjadikan konsert ini sebuah kenyataan,” katanya.
Dalam masa sama, Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak bakal membawakan rangkaian lagu dalam album baharunya berjudul Johan.
“Insya-Allah peminat yang hadir nanti dapat dengar lagu-lagu baharu saya. Saya akan tumpukan lagu baharu pada malam itu nanti.
“Lebih kurang 16 buah lagu bakal berada dalam album baharu saya. Apa yang saya boleh kata, sebuah persembahan hip hop dan rap lebih matang,” katanya.
Dibawakan oleh JioBuddy dan Altus ProHouse, konsert Joe Flizzow bakal berlangsung pada 15 Julai 2023 bertempat di JioSpace Petaling Jaya bermula jam 8.30 malam. Tiket akan mula dijual pada 12 Mei 2023.
#Joe Flizzow #konsert sulung #JioSpace #album baharu
;