Penangan Dayang Nurfaizah, Esplanade Singapura 'Full House' dibuatnya

Gempak
Januari 4, 2018 12:00 MYT
Tambah penyanyi kelahiran Sarawak itu lagi, dia tidak menyangka Esplanade Theatre yang boleh memuatkan 1,600 penonton itu penuh.

PENYANYI popular, Dayang Nurfaizah terharu apabila impiannya untuk mengadakan konsert di Eslanade Theatre Singapura, menjadi kenyataan.

Tambah penyanyi kelahiran Sarawak itu lagi, dia tidak menyangka Esplanade Theatre yang boleh memuatkan 1,600 penonton itu penuh.
“Alhamdulillah, impian saya jadi kenyataan. Sudah lama saya berhasrat untuk mengadakan konsert di Singapura dan ia menjadi realiti.
“Tidak tergambar perasaan saya pada hari ini melihat sokongan yang diberikan peminat daripada Singapura dan Malaysia yang membeli tiket untuk menyaksikan persembahan saya,” katanya.
Dayang, 36 tahun berkata, dia turut berpuas hati apabila dapat menunaikan impian peminatnya dengan memenuhi permintaan mereka menerusi pemilihan lagu dalam konsert sulungnya di Esplanade Theatre.
“Dalam konsert ini, 90 peratus lagu adalah daripada permintaan peminat di laman sosial dan kebanyakan mereka ialah peminat saya di Singapura.
“Walaupun saya ‘nervous’ ketika melihat dewan berprestij ini penuh, namun disebabkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada mereka saya teruja,” ujarnya.
Dayang ditemui Astro Gempak selepas konsertnya di Esplane Theatre, Singapura pada Isnin lalu.
Imbas kembali konsert pada malam tahun baru lalu, Dayang telah menyampaikan 25 buah lagu termasuk lagu-lagu hit terdahulunya seperti Seandainya Masih Ada Cinta, Erti Hidup, Kembalilah Sayang, Dayang Sayang Kamu, Coretan Cinta, Pintaku Terakhir dan Layarlah Kembali.
Selain itu, ratu R&B negara itu juga turut menyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer terkenal, Allahyarham Adnan Abu Hassan menerusi segmen tribute.
Lagu-lagu didendangkan Dayang pada segmen tersebut ialah Hembusan Asmara, Hakikat Cinta dan Hujan Lagi Hati Ini.
Konsert tersebut telah berlangsung selama dua jam bermula pukul 8 malam.
Dalam pada itu, Dayang turut berterima kasih kepada pihak Naza Kia Malaysia yang sudi menaja tiga buah kenderaan iaitu, Kia Grand Carnival, Kia Sportage dan Kia Sorento untuk membawa wartawan dari Malaysia ke Singapura.

#Dayang Nurfaizah #Eslanade Theatre #konsert #Singapura
;