Peminat suka, tapi Afgan "benci" lagu Jodoh Pasti Bertemu

Asyraf Roslan
Disember 18, 2022 17:10 MYT
Selama dua jam konsert berlangsung Afgan menghiburkan peminat yang hadir dengan 24 buah lagu antaranya Terima Kasih Cinta, Jodoh Pasti Bertemu, Knock Me Out dan juga lagu dari mini albumnya Lestari Merdu.- Foto: Renjana Idea
KUALA LUMPUR: Kalau bicara mengenai lagu Jodoh Pasti Bertemu nyanyian penyanyi asal Indonesia, Afgan pasti ramai peminatnya yang meminati lagu tersebut.
Bait-bait lirik lagu tersebut mungkin kena dengan kisah percintaan mereka sekali gus menjadi siulan dan juga salah satu lagu wajib yang ada dalam playlist 'galau' mereka.
Namun tidak bagi pelantun lagu itu ketika berbicara mengenai lagu yang usianya menginjak 10 tahun.
Menurut Afgan atau nama sebenarnya Afganshah Reza, 33, dia tidak begitu menggemari lagu tersebut namun tetap akan menyanyikannya buat peminat setianya.
"Saya tahu ramai yang meminati lagu Jodoh Pasti bertemu, tapi saya tidak.
"Saya dah lancarkan lagu ini 10 tahun lalu, tapi sampai sekarang tak berjumpa dengan jodohnya.. sebab itu saya benci lagu itu.
"Ada jodohnya namun banyak yang tak jadi, tapi tak mengapa untuk anda semua saya tetap akan menyanyikan lagu itu," ujarnya semasa konsert Afgan Evolution Kuala Lumpur malam tadi.
Gurauan Afgan mengundang tawa buat semua peminat yang hadir di konsertnya.
Selama dua jam konsert berlangsung, Afgan menghiburkan peminat yang hadir dengan 24 buah lagu antaranya Terima Kasih Cinta, Jodoh Pasti Bertemu, Knock Me Out dan juga lagu dari mini albumnya Lestari Merdu.
Selain peminat, ahli keluarga Afgan juga turut hadir menyaksikan konsertnya di sini.
Kehadiran penyanyi, Datuk Sheila Majid juga menjadi satu bonus buat peminat pada malam semalam apabila beliau mendendangkan lagu Ku Mohon secara akustik.
#Afgan #sheila majid #Afgan Evolution Kuala Lumpur #Jodoh Pasti Bertemu
;