Peminat serbu wad Siti Nurhaliza, netizen persoal SOP hospital

Faris Danial Razi
April 20, 2021 07:03 MYT
Memetik laporan OhMyMedia yang memetik sumber berkata, semua individu yang melawat penyanyi yang mesra disapa Tokti dan bayinya sudah melakukan ujian saringan. - Foto Universal Music Malaysia
KUALA LUMPUR: Kunjungan ‘meriah’ di hospital sewaktu kelahiran putera sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mendapat perhatian netizen apabila ada yang mendakwa berlakunya ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pelawat yang hadir.
Memetik laporan OhMyMedia, ada netizen yang mendakwa berlakunya ‘double standard’ serta mempersoalkan bagaimana SOP di hospital tersebut boleh membenarkan pelawat selain suami masuk ke dalam wad.
"Bila bini aku bersalin, sorang pun tak boleh masuk kecuali aku. Bila selebriti bersalin, sesiapa boleh masuk. ‘Double standard’ aku dah penat. Moga rezeki anak-anak dapat pergi ‘overseas’ kerja,” tulis netizen tersebut.
Meskipun begitu, menurut sumber yang dipetik OhMyMedia, kesemua individu yang melawat penyanyi yang mesra disapa Tokti dan bayinya itu, sudah pun melakukan ‘ujian saringan’ atau swab test.
Perkara itu bangkit diperkatakan apabila anak kedua bagi penyanyi kelahiran Pahang itu disambut meriah oleh suami, anak-anak tirinya, ustaz serta jurugambar dan doktor merawat di hospital.
BACA: Siti Nurhaliza selamat lahirkan bayi lelaki
Menurut laporan itu juga, walaupun kebanyakan hospital tidak membenarkan kehadiran pelawat di saat pandemik COVID-19 ini, namun di hospital swasta peraturan itu lebih longgar dan tertakluk kepada syarat ditetapkan di hospital berkenaan seperti melakukan ‘swab test’ terlebih dahulu sebelum menziarahi pesakit.
Terdahulu, Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Selangor pada jam 6.21 pagi Isnin.
Menerusi satu kenyataan dalam Instagram rasminya, pihak pengurusan Siti Nurhaliza memaklumkan bayi seberat 3.84 kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.
#Siti Nurhaliza #Instagram #SOP #Media #Pahang #wanita #kerajaan #bayi #kesihatan #operasi #perubatan #lelaki #COVID-19 #pandemik #ujian saringan
;