Peminat puas hati saksi konsert Anuar Zain
Muzaffar Mustapa
Februari 17, 2013 09:46 MYT
Februari 17, 2013 09:46 MYT
Penyanyi popular Anuar Zain memukau enam ribu peminatnya pada Konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari yang berlangsung di Stadium Malawati malam Sabtu.
Membuka tirai persembahan dengan lagu I’m The Lucky One, Anuar diiringi 26 pemuzik handalan tanahair yang diketuai oleh Mac Chew dan empat penyanyi latar.
Kemunculan mengejut pelakon Nora Danish dalam lagu Ajari Aku menggamatkan setiap ruang stadium. Tidak ketinggalan, penampilan tiga penyanyi wanita yang bakat mereka sering dipandang sebelah mata, Adibah Noor, Dina Nadzir dan Elvira sebagai penyanyi undangan untuk lagu Cinta Harus Memiliki.
Tunjang utama konsert tersebut boleh dikatakan terletak pada sistem audio, visual dan tatacahaya yang bertaraf dunia. Setiap aspek untuk sebuah konsert boleh didapati dalam konsert itu. Perkara tersebut diakui sendiri oleh penyampai radio Sharifah Aleya menerusi Twitternya, begitu juga akaun Twitter @RM0_10 yang meletakkan 800 markah untuk pencahayaan.
Walaupun telah pulang, Wan Noraida contohnya masih teringat-ingatkan kenangan manis berada di konsert tersebut.
Antara lagu yang disampaikan termasuk Keabadian Cinta, Bila Resah, Mungkin, Perpisahan, Ketulusan Hati, Teman Terulung, Sesucinya Cintamu, Semua Untukmu, Kain Pelikat, Lelaki Ini dan diakhiri dengan lagu Sedetik Lebih.
Setiap lagu yang disampaikan Anuar dipersembahkan sepenuh hatinya demi menghargai peminatnya yang hadir ke konsert tersebut.
Antara saat penting konsert itu adalah penampilan tiga penyanyi wanita iaitu Adibah Noor, Dina Nadzir dan Elvira sewaktu menyampaikan lagu Cinta Harus Memiliki. Penampilan bertenaga tiga penyanyi wanita tersebut turut menerima tepukan hormat daripada penonton.