Peminat Korea datang dari jauh nak lihat persembahan 'Terus Hidup' Aina Abdul

Asyraf Roslan
Oktober 30, 2023 22:08 MYT
Aina menganggap peluang keemasan yang diberikan untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa menjadi pengalaman dan penghormatan cukup istimewa buatnya sepanjang hampir satu dekad bergelar anak seni. - Gambar Astro AWANI
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul tidak menyangka ada peminat Korea yang tinggal di luar daerah Seoul sanggup datang dari jauh untuk menyaksikan persembahannya di pentas global ‘ABU TV Song Festival 2023’ anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) pada Ahad.
Pelantun lagu Semalam itu melahirkan rasa terharunya kerana kesempatan yang diberikan dapat melengkapi hasratnya untuk menghiburkan peminat luar negara.
“Aina cukup terharu apabila mengetahui ada di antara mereka yang tinggal di luar daerah Seoul sanggup ‘travel’ jauh semata-mata ingin menonton persembahan secara langsung.
“Jadi kesempatan yang diberikan untuk beraksi di festival ini melengkapi hasrat Aina untuk menghiburkan peminat di luar negara.
"Aina berharap persembahan malam tadi (Ahad) dapat mempersonakan semua penonton termasuk di dewan dan rumah. Manalah tahu, mungkin selepas menonton program tersebut, nama saya di Korea Selatan semakin diingati, peminat semakin bertambah dan mereka mula mengikuti evolusi muzik Aina Abdul," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Aina memukau hampir 2,000 penonton yang hadir ke acara tersebut dan jutaan penonton di rumah menerusi lagu hit ciptaannya iaitu Terus Hidup.
Pada masa sama, Aina menganggap peluang keemasan yang diberikan untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa menjadi pengalaman dan penghormatan cukup istimewa buatnya sepanjang hampir satu dekad bergelar anak seni.
“Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni saya, bahkan boleh disifatkan antara salah satu pengalaman terbaik yang pernah Aina kecapi sebagai penyanyi.
"Mengetahui bahawa program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan Aina akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, saya tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan tersebut. Walaupun hanya menyanyikan sebuah lagu sahaja, Aina bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia tercinta di persada dunia.
“Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai peminat seluruh dunia. Manakala KBS pula merupakan antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis-artis ternama K-Pop,” jelasnya.
Acara itu menyaksikan pembabitan seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara termasuk Malaysia yang diwakili Aina.
Sementara 10 lagi penyanyi yang terlibat terdiri daripada Tia Ray (China), Chau Kat Pui (Hong Kong), Malini Awasthi (India), Ayaka Hirahara (Jepun), Mamamoo+ (Korea Selatan), Winifai (Macau), Sheron Silva (Sri Lanka), Annamyradow Begmyrat (Turkmenistan), Umut Sülünoğlu & Uğur Önür (Türkiye) dan Erik Lê Trung Thành (Vietnam).
Penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 pada kali ini dihoskan stesen televisyen nasional Korean Broadcasting System (KBS) dan berlangsung di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan pada malam Ahad.
Dalam perkembangan lain, Aina menjelaskan bakal mengadakan konsert solo berskala besar ‘A Night With Aina Abdul’ 3.0 anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Aina Abdul Entertainment (AAE) yang akan bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil pada 18 November depan.
Pihak penganjur turut menambah tiket bagi kategori MIP, Platinum dan Silver bagi menampung permintaan yang tinggi daripada peminat.
Konsert tersebut menyasarkan seramai 10,000 pengunjung dan sehingga kini lebih 80 peratus jumlah tiket sudah terjual.
#Aina Abdul #ABU TV Song Festival 2023 #pentas antarabangsa #PRIHATIN
;