Peminat kecewa Jessica Jung keluar daripada Girls' Generation
Norsiah Mohd Ramli
September 30, 2014 23:02 MYT
September 30, 2014 23:02 MYT
Peminat K-pop terkejut, sedih dan kecewa apabila mendapat tahu salah seorang anggota SNSD ataupun Girls' Generation, Jessica Jung, keluar daripada kumpulan tersebut.
Perbincangan mengenainya hangat di Twitter sehingga menjadikan kata kunci "Jessica", "Sica" dan "SNSD" trending di alam siber.
Menjadi antara ahli yang paling digemari dalam Girls' Generation, keputusan Jessica untuk keluar daripada kumpulan popular K-pop antarabangsa itu mencetuskan persoalan dalam kalangan orang ramai.
Menurut syarikat rakaman kumpulan tersebut, SM Entertainment, mereka terpaksa melepaskan Jessica ekoran aktiviti perniagaannya dalam bidang fesyen yang mengganggu jadual kariernya.
Dalam pada itu, Jessica pula berkata beliau mengutamakan Girls' Generation berbanding aktivitinya yang lain, namun parah dengan keputusan dikeluarkan daripada kumpulan itu.
Selain Jessica, kumpulan Girls' Generation yang digilai kalangan remaja dianggotai lapan ahli lain iaitu Taeyeon, Sunny, Tiffany, Hyoyeon, Yuri, Sooyoung, Yoona dan Seohyun.
Girls' Generation kini berada di China dalam sesi beramah mesra bersama peminat mereka di sana.