Peminat hubungi isteri, minta henti putar lagu Allahyarham Ibnor Riza
Faida Rahim
Disember 20, 2023 06:40 MYT
Disember 20, 2023 06:40 MYT
KUALA LUMPUR: Isteri penyanyi Allahyarham Ibnor Riza, Sarimah Sulaiman memaklumkan dihubungi peminat suaminya yang meminta agar lagu-lagu arwah tidak diputarkan ketika ini.
Sarimah memaklumkan kepada Astro AWANI, pada awalnya dia terkejut mendengar permintaan peminat arwah Ibnor namun faham dengan kesedihan mereka yang mahu menghormati pemergiaannya.
“Ada seorang peminat menghantar mesej kepada saya, minta saya war-warkan agar lagu arwah tidak diputarkan buat sementara waktu.
“Saya faham ramai yang sedih dengan pemergian arwah. Namun saya tiada hak untuk menghalang masyarakat putarkan lagu itu di mana-mana platform seperti TikTok atau sebagainya.
“Lebih penting sekarang adalah doakan arwah tenang dan bahagia di rumah baharunya,” katanya.
Sarimah yang juga merupakan seorang penyanyi dan peserta program Kilauan Emas musim ketiga memberitahu, selama 15 tahun hidup bersama, Ibnor disifatkan sebagai seorang lelaki yang amat penyayang.
“Di mata saya, arwah merupakan suami yang sangat baik. Kami datang daripada latar belakang sama iaitu muzik. Muzik banyak menyatukan kami. Bayangkan hari-hari kami tidak pernah suram dengan perbualan tentang muzik.
“Walaupun baru arwah pergi, saya sudah mula rindu kehadiran arwah yang selalu ceriakan hidup saya dan anak lelaki kami. Masih terbayang kali terakhir lihat wajahnya, arwah tenang dan seolah tersenyum,” katanya.
Ibnor Riza Ibrahim meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 petang pada 17 Disember di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras Kuala Lumpur pada usia 62 tahun.
Ibnor yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu difahamkan telah melakukan kemoterapi sebanyak 13 kali.
Penyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dua kali menjalani pembedahan bagi membuang air di bahagian kepala susulan sel kanser limfoma dan masalah pendarahan.
Untuk rekod, Ibnor dan Seri mendirikan rumah tangga pada 2009 dan mereka mempunyai seorang anak lelaki yang kini berusia 13 tahun.
Ibnor juga memiliki seorang cahaya mata perempuan bersama isteri pertamanya, Norhayati Md Nor.