Peminat gelar dirinya anoreksia, ini jawapan menyentuh jiwa Ariana Grande
Gempak
April 15, 2023 17:13 MYT
April 15, 2023 17:13 MYT
PENYANYI Ariana Grande akhirnya bersuara dan memberi respons terhadap kebimbangan peminat terhadap penampilan terbaharunya.
Penampilan terkini penyanyi itu disifatkan terlalu kurus, tidak sihat sehingga ada yang mengatakan dirinya menghidap penyakit anoreksia. Anoreksia adalah istilah bagi individu yang berdepan dengan masalah gangguan pemakanan.
Tanpa menyebut dirinya memang berhadapan masalah anoreksia, Grande sebaliknya meminta semua peminat bersikap lebih memahami dan tidak cepat menilai seseorang.
“Anda tidak pernah tahu apa yang seseorang sedang lalui. Mungkin anda datang dari keluarga yang bahagia, tak semestinya semua berada dalam keadaan yang baik.
“Tolonglah, berbuat baik dan sangat memahami antara satu sama lain,” ujar Grande dalam siaran langsung di TikTok seperti dilaporkan BBC.
Ujar pelantun lagu Thank You, Next itu lagi, dirinya memang sempat mengalami masalah pemakanan lantaran penyakit kemurungan yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.
“Saya pernah mengambil banyak ubat anti kemurungan dan mengalami masalah pemakanan yang sangat teruk. Ia memang sangat-sangat tidak sihat.
“Saya tahu saya tak perlu jelaskan ini semua. Tapi saya mahu menjadi terbuka. Saya mahu anda tahu sihat itu adalah pelbagai ‘rupa’.
“Besar, kecil, tinggi, rendah - sihat ada pelbagai ‘rupa’ dan kecantikan tersendiri.
“Jadi kita ada pilihan untuk tidak memberi perhatian kepada hal yang tidak disukai, tapi beri tumpuan kepada yang elok-elok sahaja,” pesan Grande. -- Gempak