Peminat desak Taylor Swift bersuara isu Gaza
Agensi
Mei 31, 2024 17:24 MYT
Mei 31, 2024 17:24 MYT
KUMPULAN peminat Taylor Swift yang digelar Swifties, memulakan kempen bagi menyeru penyanyi itu untuk mula bercakap mengenai genosid yang sedang berlaku di Gaza.
Hashtag #SwiftiesForPalestine menjadi sohor kini di platform sosial X minggu ini susulan serangan Israel di Rafah yang mengorbankan puluhan rakyat Palestin dan mencederakan ratusan yang lain.
Dalam siaran mereka, peminat memegang bendera Palestin dan bunting "Speak Now" di "The Eras Tour" Swift, merujuk kepada tajuk salah satu album hit penyanyi itu.
Peminat turut menyiarkan semula surat yang meminta Swift menggunakan platformnya untuk bercakap mengenai krisis kemanusiaan di Gaza, di mana lebih 36,000 rakyat Palestin terbunuh sejak awal Oktober.
Antara lain, surat itu menegaskan betapa pentingnya suara dari individu yang mempunyai pengaruh seperti Swift dalam memberi impak dan menarik perhatian kepada isu kemanusiaan sejagat.
Surat itu telah menerima lebih 2.5 juta tontonan dan 16,000 siaran semula setakat Khamis.
"Di manakah wanita yang selama ini berjuang bermati-matian untuk menyatakan kepercayaannya walaupun mendapat reaksi negatif?
"Atau adakah anda hanya bercakap apabila ia memberi manfaat kepada anda?” tanya seorang peminat di X.
Desakan Swifties itu berlaku selepas jutaan pengguna media sosial, termasuk beberapa selebriti, berkongsi imej dengan slogan "All Eyes On Rafah" untuk meningkatkan kesedaran tentang situasi di Gaza.
Beberapa selebriti menyiarkan semula gambar itu, termasuk model Gigi dan Bella Hadid serta pelakon Aaron Paul, Mark Ruffalo, Jenna Ortega, Nicola Coughlan, Susan Sarandon dan Priyanka Chopra.
Swift sebelum ini antara selebriti yang kuat bersuara berkenaan hak asasi manusia, namun sehingga kini masih membisu tentang situasi di Gaza.