Peminat berang, 'ulat' jual tiket konsert Spice Girls harga RM54,000
Agensi
November 11, 2018 21:41 MYT
November 11, 2018 21:41 MYT
BUKAN sesuatu yang mengejutkan apabila 'reunion' kumpulan Spice Girls mendapat sambutan luar biasa peminat.
Jumlah persembahan di empat lokasi dalam konsert jelajah mereka di United Kingdom tahun depan telah ditambah, membuktikan betapa hebatnya penangan mereka.
Namun peminat mula 'bising', khususnya di laman sosial, apabila tiket untuk persembahan-persembahan itu habis dalam masa beberapa minit sahaja.
Lebih menjengkelkan apabila tiket itu ditemui dijual atas talian, dengan harga yang tidak masuk akal.
Di eBay, ada tiket yang dijual dengan harga 9,999 pound, atau RM54,294 sekeping.
Ramai peminat berang apabila banyak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
"Kami peminat Spice Girls gagal mendapatkan tiket, tetapi ada pihak yang bukan pengikut setia berjaya membeli tiket dan menjual dengan harga yang lima kali ganda lebih mahal," kata pengguna Twitter, @elsasaigon32.
Laman rasmi yang bertanggungjawab menguruskan penjualan tiket konsert jelajah itu, Ticketmaster, menerusi jurucakapnya, Andrew Parsons memberitahu portal Mirror, senarai menunggu kini hampir mencecah 700,000 orang.
"Permintaan untuk Spice Girls sangat luar biasa. Kami sangat sibuk setiap hari.
"Jika ini berterusan, kemungkinan besar tarikh konsert dan jumlah persembahan akan ditambah lagi," kata Parsons kepada portal itu.
Konsert jelajah Spice Girls itu hanya membabitkan empat daripada lima anggot asalnya iaitu Mel B, Mel C, Emma Bunton dan Geri Halliwell, dan dijadualkan bermula Mei 2019 di Manchester.