Pemergian Hamdan Senario, industri hiburan kehilangan seorang lagi permata - Seniman
Ridauddin Daud
Januari 5, 2024 15:41 MYT
Januari 5, 2024 15:41 MYT
KUALA LUMPUR: Pemergian penyanyi, pelakon dan pelawak, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, lebih popular dengan nama pentas Hamdan Senario, menyaksikan industri hiburan tanah air kehilangan seorang lagi permata.
Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah menerusi satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan Allahyarham Hamdan meninggal dunia pada jam 12.50 tengah hari pada Jumaat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada usia 54 tahun.
Tambah Hafiz, arwah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah, komplikasi jantung dan buah pinggang.
“Dukacita dimaklumkan bahawa seorang lagi permata industri hiburan tanah air Allahyarham Ahmad Hamdan Bin Mohamed Ramli atau lebih popular dengan nama pentasnya Hamdan Senario telah kembali kerahmatullah pada jam 12.50 tengahari tadi di Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu pada usia 54 tahun,” menurut kenyataan itu.
Tambah Hafiz, jenazah akan dimandikan di hospital, sebelum dibawa pulang ke rumah arwah di Ipoh dengan dijangka tiba pada jam 8.30 malam.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.
“Seluruh Kepimpinan Tertinggi dan Barisan Exco Seniman Malaysia mengucapkan takziah buat ahli keluarga dan semoga tabah hadapi ujian ini,” katanya lagi.
Hamdan Senario, dilahirkan di Batu Gajah, Perak mula mencipta nama selepas menyertai program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1995.
Bersama Ilya dan Wahid, kumpulan itu memenangi pertandingan tersebut pada tahun berkenaan.
Hamdan pernah membintangi beberapa buah filem antaranya ialah Aku Kaya The Movie (2003), Tipah Tertipu The Movie, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Kemarau Cinta, Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007), Senario The Movie: Episode 1 (2008) dan yang terbaru pada tahun 2022 Jaga-Jaga Senariounion dan Abang Long Fadil 3.
Allahyarham juga telah berlakon ratusan drama di televisyen sejak berada di dalam industri hiburan negara.