Pemergian Adnan Abu Hassan, anak didik kongsi kesedihan
Madiha Abdullah
Mac 18, 2016 11:03 MYT
Mac 18, 2016 11:03 MYT
AWAL pagi Jumaat 18 Mac 2016, komposer dan penerbit tersohor, Datuk Adnan Abu Hassan, memenuhi janjinya untuk menemui Sang Pencipta.
Antara nama yang cukup ikonik dalam industri muzik, Adnan, 57 tahun, sudah menulis ratusan lagu popular.
Malah, ramai penyanyi popular hari ini pernah dibimbingnya di zaman kegemilangan mereka.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tentunya paling terkesan dengan pemergian Adnan.
Masakan tidak, Adnan antara orang yang bertanggungjawab 'mengesan' bakat Siti, seterusnya mendidik beliau sehingga bergelar legenda muzik.
Turut sama berkongsi kesedihan ialah Misha Omar, yang juga salah seorang anak didik Adnan.
"Bunga-Bunga Cinta" ciptaan Allahyarham memberi kenangan manis untuk Misha kerana lagu itulah yang memperkenalkan namanya kepada peminat.
Lagu "Di Persimpangan Dilema" pastinya akan menjadi satu memori cukup indah buat penyanyinya, Nora.
Lagu malar segar yang cukup popular satu ketika dahulu itu menjulang Nora sehingga menjadi satu nama yang cukup dikenali di dalam industri muzik.
Seorang lagi artis yang cukup sinonim dengan Allahyarham ialah Aishah.
Pernah mengalunkan banyak lagu hit ciptaan Adnan seperti "Camar Yang Pulang" dan "Kasih Kita", pemergian Adnan tentunya amat dirasai.
Adnan meninggal dunia jam 2.17 pagi tadi akibat angin ahmar, diabetes dan kegagalan buah pinggang.