Pementasan teater 'Kandang' bawa mesej suara masyarakat
Madiha Abdullah
April 15, 2019 12:41 MYT
April 15, 2019 12:41 MYT
Teater 'Kandang' yang kali kedua dipentaskan di KLPAC tidak hanya berteraskan hiburan semata-mata, tetapi menumpukan kepada isu dan situasi masyarakat.
Bukan kelainan yang dicari, sebaliknya persembahan mesej yang boleh dianggap sebagai suara rakyat dalam situasi semasa.
"Objektif pementasan 'Kandang' masih sama seperti kali pertama dahulu. Kami mahu bawa cerita di Malaysia dan tentang apa yang dilalui sebagai rakyat," kata teraju utama Ashraf Zain.
Namun begitu, satira yang dipertontonkan bukan bercorak partisan atau menyebelahi mana-mana parti politik.
"Yang penting di sini bukan tentang kerajaan yang berbeza atau sudah bertukar, tetapi lebih kepada bagaimana perubahan itu diterima masyarakat.
"Satu yang menarik bagi saya untuk melihat bagaimana persepsi penonton yang kali ini akan menonton dengan 'mata' yang berbeza," ujar pengarahnya, Omar Ali.
Merupakan adaptasi karya asal George Orwel berjudul "Animal Farm", "Kandang" kali pertama dipentaskan pada 2017 dan dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik dalam Anugerah Seni BOH Cameronian 2017, selain turut merangkul beberapa lagi anugerah lain.
Selain mengekalkan Ashraf sebagai pelakon utama, nama-nama lain yang kembali memegang peranan masing-masing antaranya ialah Faez Malik, Benedict Chin dan Chloe Tan.
"Kandang" akan dipentaskan di KLPAC dari 25 April sehingga 28 April ini.
Tiket-tiket sudah boleh didapati di laman web Proticket dengan harga antara RM40 hingga RM80.