Pementasan OlaBola kembali, rai pembukaan semula industri kreatif
Madiha Abdullah
Oktober 8, 2022 12:00 MYT
Oktober 8, 2022 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Produksi muzikal yang memenangi lapan trofi di Anugerah Seni BOH Cameronian ke-16, OlaBola, kembali menemui peminat untuk satu musim terhad, November depan.
Dinamakan OlaBola: I Cover You 2022, ia merupakan versi berbeza dan lebih pendek berbanding versi penuh seperti yang dipersembahkan selama dua musim di Istana Budaya, beberapa tahun lalu.
Pengarah, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, pementasan kali ini mengambil inspirasi daripada jelajah pementasan OlaBola Merdeka di Pulau Pinang, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kuching pada 2019.
“Sewaktu persembahan jelajah tahun 2019, kami menyaksikan reaksi yang sangat luar biasa daripada penonton.
"Dari bermulanya jelajah tersebut, ternyata tahap adrenalin, emosi dan keterujaan penonton di Malaysia terhadap bola sepak memang lain daripada yang lain," katanya dalam satu kenyataan.
Tiara juga melihat pementasan OlaBola kali ini sebagai petanda baik bagi industri seni kreatif yang suram susulan pandemik COVID-19.
“Kami sangat teruja dapat melakukan pementasan ini. Ia sebagai tanda sokongan dan meraikan pembukaan kembali industri teater tempatan.
"OlaBola merupakan sebuah produksi feel good yang saya pasti, bakal menaikkan lagi semangat semua yang terkesan dengan pandemik ini.
"Kami juga berharap ia dapat membantu sedikit sebanyak dari segi mewujudkan peluang pekerjaan, setelah tiga tahun industri ini menyepi," ujarnya lagi.
Musim terhad versi 90 minit kali ini akan menyaksikan kembalinya pelakon-pelakon dari pementasan muzikal asal iaitu Altimet yang membawakan watak Sarjan Ahmad, Brian Chan sebagai “Tauke” Chow Kwok Keong, Luqman Hafidz sebagai Ahmad Ali dan Lim Jian Wen sebagai Ong Tiam Chai.
Produksi di bawah Enfiniti ini diadaptasi dari filem dengan tajuk yang sama arahan Chiu Keng Guan terbitan Astro Shaw, Golden Screen Cinemas dan Multimedia Entertainment Sdn Bhd.
OlaBola: I Cover You 2022 akan dipentaskan dari 9 hingga 19 November 2022 di The Platform, Menara KEN TTDI.
Hanya 500 tiket tersedia bagi setiap persembahan dan peminat boleh mendapatkannya di laman web www.myticket.asia.