Pementasan Fund4Tahfiz sasar kutipan RM20,000

Astro Awani
Julai 2, 2020 11:40 MYT
Menurut Dr Mohd Ashraf, acara tazkirah mengenai kemuliaan Al-Quran dan persembahan muzikal Islami ini akan disiarkan melalui akaun Facebook yang memiliki lebih 100,000 pengikut.
Menyedari krisis kewangan yang serius melanda pengurusan sekolah tahfiz, Garasi Republik dan Pondok Motivasi Hamlatul Quran (PMHQ) akan melancarkan pementasan #Fund4Tahfiz.
Acara persembahan muzikal Islami selama dua jam ini akan bersiaran secara langsung melalui Facebook.
Garasi Republik dan PMHQ menyasarkan kutipan dana RM20,000 bagi membantu kos operasi PMHQ yang terjejas teruk berikutan kelemesetan ekonomi akibat COVID-19.
"Kami berterima kasih kepada Garasi Republik kerana sudi bekerjasama dan berharap rakan-rakan artis sudi bersama menjayakan program ini," kata Mudir PMHQ, Ustaz Dr Mohd Ashraf Suarin.
Acara tazkirah mengenai kemuliaan Al-Quran dan persembahan muzikal Islami ini akan disiarkan melalui sebuah akaun Facebook yang memiliki lebih 100,000 pengikut.
"Pada masa sama, kami berharap pemilik akaun media sosial yang lain turut membantu mempromosi kempen ini," kata Dr Mohd Ashraf.
Showcase Fund4Tahfiz dilancarkan bagi membantu mengisi dana PMHQ dalam menangani kos operasi yang terjejas teruk berikutan kemerosotan kutipan yuran dan sumbangan awam.
"Seramai 70 peratus pelajar tidak mampu membayar yuran dan kami faham keadaan kewangan keluarga mereka yang terkesan kerana kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19," kata Dr Mohd Ashraf.
Fund4Tahfiz akan menggabungkan wajah-wajah penceramah muda, artis popular yang komited berdakwah dan acara jualan serta infak sambil menderma.
"Peminat boleh mengikuti persembahan Fund4Tahfiz sambil mendapatkan pengetahuan mengenai kemuliaan Al-Quran dan mendengar persembahan unplugged lagu-lagu bertema Islami," kata Dr Mohd Ashraf.
PMHQ juga berusaha mendapatkan kolaborasi persembahan dengan kumpulan muzik dan artis solo terkenal seperti Al Farabi, Andy Flop Poppy, Ejam Medicine, To'ki, Syed Amran Al Yahya dan Afad & Friends.
Selain memutuskan lokasi persembahan dan konsep promosi, proses hebahan awal dibuat bagi membolehkan projek amal ini mendapatkan lebih ramai rakan kolaborasi.
"Kami menyenaraikan artis-artis yang sentiasa membantu PMHQ selama ini serta dan memiliki konsep persembahan yang relevan dengan tema Islami," katanya.
Memandangkan persembahan ini tidak ada penonton, justeru, lokasi yang dicari haruslah memiliki akses internet yang baik bagi memastikan kualiti audio dan visual.
"Walaupun PMHQ di Kuala Selangor tapi pementasan ini dicadangkan di Kuala Lumpur bagi memudahkan kehadiran artis," katanya.
Menurut Dr Mohd Ashraf, pementasan tanpa penonton itu diharap mendapat capaian 3,000 hingga 5,000 tontonan secara langsung di Facebook selain jangkauan 30,000 hingga 50,000 tontonan semula dalam tempoh 24 jam.
Sumbangan kepada PMHQ, juga kata beliau, boleh dilakukan secara dalam talian sebelum, ketika dan selepas persembahan.
"Kami ingin mengumpulkan dana bagi memastikan semua bil tertunggak dan kebajikan pelajar terjaga apabila mereka kembali belajar," katanya
#amal #COVID19 #dalam talian #dana #Dr Mohd Ashraf Suarin #Garasi Republik #konsert #online #PMHQ #Pondok Motivasi Hamlatul Quran
;