Pembikin filem Malaysia digesa terokai pasaran Amerika Latin

Bernama
Oktober 27, 2017 08:09 MYT
Filem merupakan forum bagi rakyat dari seluruh pelosok dunia untuk berkongsi kebudayaan yang boleh memberi inspirasi. - Gambar fail
Pembikin filem Malaysia harus memanfaatkan hubungan diplomatik yang kukuh dengan negara-negara Amerika Latin untuk menceburi pembuatan filem di rantau itu, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata filem juga boleh berperanan sebagai perantara untuk memahami dengan lebih baik budaya yang berbeza dan meningkatkan kesedaran tentang rantau lain.
Beliau berkata demikian pada malam gala perasmian Festival Filem Amerika Latin ke-16 di Malaysia, di sini Khamis malam.
"Filem merupakan forum bagi rakyat dari seluruh pelosok dunia untuk berkongsi kebudayaan yang boleh memberi inspirasi dan menyatukan masyarakat di sebalik perbezaan kita," katanya.
Mohamed Nazri juga berkata Malaysia berminat untuk mengadakan festival filem serupa di Amerika Latin dan perkara itu akan diteliti oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
"Filem secara tidak langsung turut mempromosikan pelancongan dan kami mahu mereka di luar sana tahu lebih banyak tentang Malaysia," katanya.
Berlangsung di GSC Pavilion KL, festival filem dari 1 hingga 8 Nov itu menampilkan filem-filem dari 11 negara Amerika Latin termasuk negara tamu Afrika Selatan.
Antara filem yang akan ditayangkan ialah filem animasi Uruguay 'Anina' dan filem seram Venezuela 'The House at the End of Time'.
Festival itu dianjurkan oleh kedutaan negara-negara Amerika Latin dan Caribbean di Malaysia.
-- BERNAMA
#Amerika Latin #budaya #filem #FINAS #hiburan #merdysia #Nazri Aziz #pelancongan
;