Pemain bass terkenal, Kelly meninggal dunia

Saharudin Musthafa
Mei 4, 2019 20:44 MYT
Alllahyarham Kelly menghembuskan nafas terakhir pada usia 47 tahun. - Gambar media sosial
PEMAIN bass terkenal tanah air, Kelly meninggal dunia sekitar pukul 4.20 petang Sabtu.
Allahyarham Kelly atau nama sebenarnya, Wan Kelly Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir selepas mengadakan sesi latihan (sound check) bagi menjayakan pementasan Malam Kasih Amal di Ipoh, Perak yang berlangsung malam ini.
Menurut kenalan Allahyarham Kelly, Wan Sofiatul Shima Wan Chik, pemergian pemuzik berusia 47 tahun itu amat mengejutkan seluruh karyawan yang terlibat dalam pertunjukkan amal itu.
Wan Sofiatul atau lebih dikenali sebagai Opie, sebelum rebah di pentas, Allahyarham Kelly sempat bergurau dengan rakan-rakannya.
“Arwah bergurau dengan saya dan beberapa kenalan lain, bahkan beliau yang terkenal sebagai seorang humor juga sempat ketawa besar sebelum secara tiba-tiba rebah,” kata Opie lagi.
Opie kini berada di Ipoh menemani isteri Allahyarham, Zeti Nezlin Zulkifli yang berada di sana bagi menuntut jenazah Kelly untuk dibawa pulang ke ibu negara.
Beberapa artis ternama yang menjayakan persembahan Malam Kasih Amal seperti Datuk M. Nasir dan Aizat Amdan turut menziarahi jenazah Allahyarham Kelly di hospital.
Allahyarham Kelly merupakan pemuzik ternama yang sering mengiringi persembahan ramai penyanyi popular tanah air.
Kelibat Allahyarham Kelly sering kelihatan di pelbagai pertunjukkan bersakala besar selain banyak menyumbang khidmat dalam rakaman album penyanyi-penyanyi Malaysia.
Bagi penyanyi Dayang Nurfaizah, pemergian Kelly merupakan berita yang paling sedih buatnya kerana Allahyarham dipanggil mengadap Ilahi hanya beberapa jam selepas mereka bertemu di pentas.
“Arwah Kelly merupakan antara pemuzik yang amat menyenangkan. Beliau sangat profesional, dedikasi serta seorang yang humor. Saya sentiasa selesa dan bersemangat apabila beliau berada di pentas mengiringi persembahan.
“Saya kehilangan seorang abang, pemuzik dan rakan yang ceria dan sentiasa menghiburkan saya,” kata penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Dayang yang sudah lebih sedekad bersahabat dengan Allahyarham juga berkata, pemergian Kelly merupakan satu kehilangan besar pada industri muzik tanah air.
Jenazah Allahyarham Kelly dijangka dibawa ke Kuala Lumpur selepas selesa proses bedah siasat dilakukan.
Selain balu, Allahyarham Kelly juga meninggalkan tiga orang cahaya mata Wan Adam Nuqman, 20, dan pasangan kembar, Wan Afri Zareeth dan Wan Efra Armand. 15.
#Aizat amdan #bassist #Dayang Nurfaizah #Kelly #M Nasir #meninggal dunia #Pemain bass terkenal Kelly meninggal dunia #pemuzik
;