Pelbagai program, drama baharu di Astro sempena 'Semangat Lebaran Kita'
Asyraf Roslan
Mac 23, 2022 22:26 MYT
Mac 23, 2022 22:26 MYT
KUALA LUMPUR: Bertemakan "Semangat Lebaran Kita", penonton dan pelanggan Astro bakal menyaksikan pelbagai kandungan program menarik sempena Ramadan yang bakal diraikan tidak lama lagi.
Menurut Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi, sebagai penyedia perkhidmatan televisyen berbayar tempatan yang popular, Astro bukan hanya menyediakan program untuk siaran televisyen, sebaliknya turut melibatkan platform media lain seperti radio dan digital termasuk aplikasi.
“Bagi menyemarakkan tema “Semangat Lebaran Kita” untuk bulan Ramadan ini, Astro akan melibatkan semua platform yang ada dengan menampilkan pelbagai bentuk rancangan baharu yang berkualiti.
“Antara kandungan yang akan dibawakan kepada rakyat Malaysia adalah drama, komedi, kerohanian, rancangan antarabangsa dan On Demand,” katanya dalam sidang media Ramadan Astro pada Rabu.
Di samping itu Azlin Reza memberitahu, Astro turut menayangkan beberapa drama baharu yang diangkat daripada naskah-naskah hebat dan dibarisi nama-nama besar dalam industri seni tanah air.
Katanya, antara drama yang akan ditayangkan di Astro adalah Jangan Menangis Cinta gandingan hebat pelakon Remy Ishak dan Amyra Rosli serta Dendam Seorang Isteri yang dilakonkan Fasha Sandha, Nad Zainal, Aidit Noh dan Wan Raja.
“Tidak ketinggalan, Astro turut menyediakan kandungan khas untuk anak-anak sepanjang bulan Ramadan ini.
“Antara program yang akan disiarkan adalah animasi Hafiz dan Hafizan serta Salam Skuad yang bakal menemui para penonton seluruh negara bermula 15 April ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azlin Reza turut turut memperkenalkan duta-duta Ramadan Astro yang akan berinteraksi dengan para penonton melalui laman sosial masing-masing.
Antara duta-duta tersebut termasuk Danial Zaini, Errisa Puteri, Hun Haqeem, Wani Kayrie dan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar.