Pelawak terkenal Korea Selatan ditemui mati bersama ibu, disyaki bunuh diri

Agensi
November 2, 2020 21:42 MYT
Ji-sun membuat debut pada 2007 sebagai pelawak dan menjadi terkenal kerana menyertai banyak program hiburan televisyen. - TWITTER/@soompi
PELAWAK terkenal Korea Selatan, Park Ji-sun dilaporkan meninggal dunia pada Isnin.
Menurut polis, mayat Ji-sun, 36, dan ibunya ditemui di rumahnya di daerah Mapo-gu, barat Seoul.
Kejadian itu dilaporkan oleh ayah Ji-sun kepada polis apabila dia tidak dapat menghubungi Ji-sun dan isterinya.
Apabila polis tiba di tempat kejadian pada jam 1.44 petang Isnin, kedua-dua mereka ditemui sudah tidak bernyawa.
Memetik laporan The Korea Herald, polis yang menyiasat kes tersebut berkata tiada sebarang kesan kecederaan luaran pada badan Ji-sun dan ibunya.
Yonhap News Agency pula melaporkan polis menemui sekeping nota yang dipercayai ditulis oleh ibu Ji-sun.
Bagaimanapun, penyiasat tidak mendedahkan kandungan nota berkenaan atas permintaan keluarga.
Difahamkan, Ji-sun sedang menerima rawatan untuk masalah kesihatan yang tidak didedahkan.
Oleh itu, ibunya, yang menetap di luar bandar, pergi ke Seoul untuk tinggal bersama-samanya.
Ji-sun membuat debut pada 2007 sebagai pelawak dan menjadi terkenal kerana menyertai banyak program hiburan televisyen.
Pihak polis masih menyiasat punca kematian sebenar kedua-dua individu itu, tetapi mengesyaki ia merupakan kes bunuh diri.
Gejala bunuh diri merupakan masalah sosial kronik di Korea Selatan dan merupakan penyebab kematian utama bagi mereka yang berusia antara 10 hingga 39 tahun, menurut data kerajaan.
Lebih 13,700 orang membunuh diri pada tahun lalu.
Beberapa tahun kebelakangan ini, dunia hiburan Korea Selatan telah dikejutkan dengan kes bunuh diri beberapa selebriti.
Antaranya, penyanyi K-Pop, Kim Jong-hyun daripada kumpulan K-Pop terkenal Shinee pada Disember 2017.
Anggota kumpulan Kara Goo Hara dan penyanyi f(x) Sulli juga membunuh diri akibat serangan buli siber.

Orang ramai di negara ini dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.
Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.
Panggilan adalah percuma.

#Park Ji-sun #Korea Selatan #ditemui mati #K-pop #pelawak #meninggal dunia #mayat #bunuh diri
;