Pelawak terkenal Australia, Barry Humphries meninggal dunia
Agensi
April 22, 2023 05:10 MYT
April 22, 2023 05:10 MYT
PELAWAK terkenal Australia, Barry Humphries yang terkenal dengan watak humornya, Dame Edna Everage, meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Artis masyhur itu dirawat di sebuah hospital di Sydney mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan pinggul pada bulan Mac lalu, lapor BBC News.
Mendiang Humphries juga dilaporkan jatuh sakit pada sekitar Februari lalu.
Humphries menempa kemasyhuran di Britain pada tahun 1970-an dan muncul dalam pelbagai program televisyen sendiri antaranya, Dame Edna Everage Experience, pada akhir 1980-an.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, keluarganya memberitahu, mendiang akan dikenang sebagai “dirinya sendiri sehingga ke akhir hayat, tidak pernah kehilangan kebijaksanaannya, keunikan akal serta murah hati.”
Peminat-peminat setia Humphries pula dianggap sangat “berharga buatnya” dan kesemua karakter yang dilakonkannya telah menghiburkan jutaan orang dan akan terus hidup.”
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengenang mendiang Humphries sebagai seorang yang sangat berbakat besar.
"Seorang yang pandai bergurau, penulis dan seorang yang berbakat besar," kata Albanese dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Humphries yang dilahirkan di Melbourne berpindah ke London pada tahun 1959 dan muncul dalam pertunjukan West End seperti Maggie May dan Oliver.
Mendiang pernah menjadi tokoh utama dalam lakonan komedi British bersama rakan sebaya seperti Alan Bennett, Dudley Moore dan Spike Milligan.