Pelawak Kumin KU2 meninggal dunia pada usia 49 tahun

Astro Awani
September 3, 2020 16:21 MYT
Allahyarham Kumin atau nama sebenarnya Khuzami Ismail menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Lembah Maju, Ampang pada usia 49 tahun sekitar pukul 12.30 tengah hari. - Gambar fail
Industri hiburan tanah air pada Khamis dikejutkan dengan pemergian seorang lagi pelawak tanah air, Kumin pada tengah hari tadi.
Allahyarham Kumin atau nama sebenarnya Khuzami Ismail menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Lembah Maju, Ampang pada usia 49 tahun sekitar pukul 12.30 tengah hari.
Berita pemergian Kumin disahkan oleh rakannya, Yank Kassim yang menerima panggilan daripada isteri Allahyarham.
"Isteri arwah memberitahu, dia keluar membeli barang di kedai pagi tadi. Sekembalinya ke rumah, dia mendapati Kumin terbaring di lantai dengan wajah kebiru-biruan.
"Setahu saya, arwah sudah sihat selepas dimasukkan ke hospital, akhir Julai lalu akibat sesak nafas, angin pasang dan air berlebihan dalam badan.
"Selain itu, arwah berhadapan masalah pergerakan badan yang terhad," kata Yank.
Allahyarham Kumin merupakan antara artis generasi 1990-an yang pernah menempa kemasyhuran bersama rakan karibnya, Allahyarham Bob Kuman.
Mereka berdua pernah menubuhkan kumpulan duo dikenali sebagai KU2 dan menghasilkan empat album iaitu Motivasi pada 1994, Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999) dan The Best of KU2 (2001).
Selepas tidak aktif menyanyi, Allahyarham Kumin banyak memberi fokus pada kerja belakang tabir dan menjadi pengurus produksi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah berkata, jenazah Allahyarham kini berada di rumahnya di Lembah Jaya untuk dibawa ke Hospital Ampang sebelum dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah untuk dimandikan.
Jenazah Allahyarham, kata Hafiz, kemudiannya akan dikebumikan di Seri Menanti, Negeri Sembilan.
|
#KU2 #Kuman #Kumin #meninggal dunia #pelawak #terbaring di lantai
;