Pelawak Kamal Chilok meninggal dunia

Gempak
Oktober 12, 2019 20:00 MYT
Allahyarham Kamal bersama rakan-rakannya dari kumpulan Chilok pernah menyertai Maharaja Lawak Mega 2018 terbitan Astro.
BEKAS peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) 2018, Kamal yang juga anggota kumpulan Chilok menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya kira-kira jam 4.40 petang tadi.
Berita itu disahkan oleh salah seorang anggota Chilok, Chiwan ketika dihubungi Gempak.
Menurut Chiwan, jenazah Allahyarham Kamal akan dimandikan di Hospital Putrajaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Bangkong, Sepang pada Ahad.
Kamal sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada hari Khamis (10 Oktober).
BACA: Kamal Chilok Kemalangan, Kritikal Di Hospital Putrajaya
Beliau dibawa ke Hospital Putrajaya dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami kecederaan pada anggota badan serta kepala dan tidak sedarkan diri.
Selain Kamal atau nama sebenarnya, Mohd Kamal Shah Saharuddin, 30, kumpulan Chilok turut dianggotai oleh Chiwa dan seorang lagi rakan mereka, Achok.
Allahyarham Kamal meninggalkan balu, Bea Zhari yang difahamkan sedang hamil anak sulung mereka.
#Kamal #kumpulan Chilok #Maharaja Lawak Mega 2018 #Mohd Kamal Shah Saharuddin #pelawak
;