Pelawak Hamid Gurkha meninggal dunia, jenazah dikebumi lepas Isyak

Astro Awani
Jun 14, 2022 16:35 MYT
Arwah Hamid meninggal dunia pada pukul 2.19 petang Selasa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pelakon komedi Hamid Gurkha, 90, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain, pada jam 2.19 petang ini.
Arwah dimasukkan ke hospital enam hari lalu, namun keluarganya menafikan arwah dalam keadaan tenat sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sebelum ini, Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman dilaporkan hanya mampu terlantar atas katil selepas dijangkiti COVID-19 pada Februari lalu.
Bintang yang dikenali menerusi komedi, Panglima Badol yang diterbitkan pada 1978, dilaporkan tidak pernah menghidap penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan keadaannya yang semakin uzur pada usia menginjak 90 tahun.
Beliau juga pernah membintangi filem Gila-gila, Sikit Punya Gila, Ragam Pemandu dan Zombie Kampung Pisang.
Hamid mendirikan rumah tangga pdengan Timah Abdul Hamid, 80 pada April 1957 dan dikurniakan lapan cahaya mata.
Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.
Dalam perkembangan terbaharu, jenazah seniman itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Raja, Klang selepas solat Isyak.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) memaklumkan, jenazah Allahyarham Hamid kini berada di Masjid Sungai Jati Kampung Jawa bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.
#Hamid Gurkha meninggal dunia #COVID-19 #pelakon komedi #Panglima Badol
;