Pelakon watak New Goblin didakwa lakukan gangguan seksual terhadap pelajar
Astro Awani
Oktober 3, 2019 05:44 MYT
Oktober 3, 2019 05:44 MYT
DUA bekas pelajar kelas lakonan memfailkan saman terhadap pelakon James Franco atas dakwaan melakukan gangguan seksual.
Saman di Mahkamah Los Angeles itu difailkan Sarah Tither-Kaplan dan Toni Gaal yang mendakwa Franco serta rakannya melakukan gangguan seksual terhadap gadis yang menghadiri kelas mereka.
Kedua-dua pelajar itu turut mendakwa Franco dan rakannya menggunakan peranan sebagai guru dan majikan untuk melakukan gangguan seksual dengan menawarkan peluang dalam projek yang dilakukan.
Franco dan rakan kongsinya Vince Jolivette membuka sekolah studio 4 pada 2014 yang mempunyai cawangan di New York dan Los Angeles.
Pelajar itu berkata mereka membayar yuran AS$300 sebulan dan mengharapkan perkembangan karier dan bakat dalam lakonan, namun sebaliknya mereka dipaksa dalam aksi berbaur seksual.
Kata pelajar itu lagi, sesiapa yang bersedia untuk diambil kesempatan di hadapan Franco dan rakannya akan diberi layanan istimewa, malah adegan itu turut dirakam.
Franco yang mula dikenali selepas memegang watak New Goblin dalam Spider-Man pernah dicalonkan untuk anugerah Pelakon Terbaik melalui filem 127 Hours.