Pelakon veteran Tamil popular Thangamani meninggal dunia
Umavathi Ramayah
Julai 27, 2021 18:26 MYT
Julai 27, 2021 18:26 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon veteran dan artis alih suara Tamil popular tempatan, Thangamani Velayudan meninggal dunia pada usia 74 tahun akibat COVID-19, pagi Selasa.
Berita pemergian mendiang itu disahkan oleh anak buahnya, G Sardevandran.
Dia memaklumkan, artis veteran itu meninggal dunia kira-kira pukul 11.30 pagi ini, di kediamannya di Prima Puchong.
Menurutnya, mendiang yang disahkan positif COVID-19 sebelum itu diperintah untuk menjalani kuarantin di rumah, sebelum keadaannya semakin kurang memuaskan sejak dua hari lalu.
"Sejak dua hari lalu, mendiang mengadu batuk dan selesema teruk. Namun begitu, keadaannya tidak begitu serius dan masih boleh berjalan dan bercakap seperti biasa sebelum pengsan pagi ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Turut disahkan positif katanya, adalah isteri mendiang yang juga sedang menjalani kuarantin di rumah.
Sardevandran memaklumkan, pengebumian dilakukan kakitangan Hospital Serdang mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menzahirkan takziah kepada keluarga mendiang.
Menurutnya, pemergian mendiang adalah satu kehilangan besar kepada industri perfileman tempatan.
Mendiang dibawa masuk ke dalam industri hiburan oleh pelakon veteran PK Samny, sekitar tahun 1970-an. Beliau memulakan kariernya sebagai personaliti radio sebelum ditawarkan berlakon dalam filem arahan Vijayasingam.
Antara filem yang dibintangi mendiang adalah Vedigundu Pasanga, arahan Dr Vimala Perumal.