Pelakon terkenal Perancis, Alain Delon meninggal dunia

Agensi
Ogos 18, 2024 16:45 MYT
Mendiang muncul dalam lebih 90 filem selama kariernya - Foto/REUTERS
PELAKON Perancis Alain Delon, yang telah mencairkan hati jutaan peminat filem sama ada ketika memainkan watak pembunuh upahan atau penjenayah pada zaman kegemilangannya, dilaporkan meninggal dunia tengah malam tadi.
Media Perancis melaporkan pemergian aktor yang berusia 88 tahun itu disahkan oleh anaknya dalam satu kenyataan, dipercayai akibat masalah kesihatan.
"Alain Fabien, Anouchka, Anthony serta Loubo (anjingnya), dengan rasa sedih ingin memaklumkan tentang pemergian bapa kami.
"Beliau meninggal dunia dengan tenang di rumahnya dekat Douchy, dikelilingi oleh ketiga-tiga anak dan keluarganya," menurut kenyataan tersebut.
Bintang yang terkenal dengan watak dalam filem klasik bertajuk 'Purple Noon' (1960) dan 'Le Samurai' (1967) itu mengalami keadaan kesihatan yang teruk sejak diserang angin ahmar pada 2019.
Bermata biru, Delon kadangkala dirujuk sebagai "French Frank Sinatra" kerana penampilannya yang kacak.
Delon membintangi filem-filem popular sekitar 1960-an termasuk The Leopard dan Rocco and his Brothers.
Mendiang muncul dalam lebih 90 filem selama kariernya.
#Alain Delon #pelakon Perancis #meninggal dunia #punca kematian
;