Pelakon Star Trek, Anton Yelchin maut dalam kemalangan kereta

AFP
Jun 20, 2016 10:07 MYT
Dilahirkan di Rusia, ibu bapa Yelchin kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat ketika dia berusia enam tahun. - Foto AFP
Bintang Hollywood sedang meningkat naik, Anton Yelchin, yang juga pelakon filem terbaharu ‘Star Trek’ meninggal dunia pada Ahad selepas terbabit dalam satu kemalangan kereta. Dia berusia 27 tahun.
“Khabar ini amat menyedihkan, dan ia benar,” menurut pegawai seranta Yelchin, Jennifer Allen.
“Keluarganya memohon penghormatan dan diberikan ruang buat mereka,” tambahnya.
Kemalangan berlaku di laluan sekitar kediaman Yelchin yang terletak di San Fernando Valley. Dia ketika itu sedang dalam perjalanan bertemu beberapa rakan untuk mengadakan latihan sebelum berhenti sejenak dan keluar dari kenderaan di satu lokasi.
Kereta terbabit bagaimanapun tidak semena-mena menggelongsor ke belakang dan melanggar Yelchin sebelum menjunam turun dari laluan yang tinggi itu.
Yelchin diheret sama sebelum ditemui terhimpit di antara sebatang tiang peti surat dan sebuah pagar, kata pasukan polis Los Angeles.
Selepas disedari kehilangannya, seorang rakan menemui Yelchin sudahpun meninggal dunia.
Namun tidak diketahui berapa lama dia telah meninggal dunia.
Dilahirkan di Rusia, ibu bapa Yelchin kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat ketika dia berusia enam tahun.
Dia mula berlakon pada usia sembilan tahun menerusi filem "A Man Is Mostly Water," selain muncul dalam beberapa siri televisyen.
Namun mula dikenali selepas membintangi filem "Alpha Dog", "Star Trek," "Star Trek into Darkness" dan yang terbaharu filem "Star Trek Beyond," yang akan disiarkan bulan depan.
#Anton Yelchin #kemalangan maut #meninggal dunia #Star Trek
;