Pelakon Shahriza Mahmud kritikal akibat demam panas

Astro Awani
Januari 7, 2021 21:31 MYT
Keputusan ujian saringan COVID-19 ke atas Shahriza Mahmud didapati negatif, namun, sehingga kini keadaannya masih kritikal, kata suami pelakon itu, Saddiq Rafali. - Gambar Instagram SADDIQ RAFALI
KUALA LUMPUR: Pelakon drama terkenal era 1990-an, Shahriza Mahmud kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Putrajaya akibat demam panas.
Selepas tiga hari dirawat di Unit Penjagaan Kritikal (CCU) hospital berkenaan, doktor telah mengenal pasti jenis bakteria dalam sistem tubuh aktres yang pernah menempa kemasyhuran menerusi drama bersiri Spektra itu.
Perkembangan status Shahriza, 55, dikongsi suaminya, Saddiq Rafali di akaun media sosialnya.
“Cintaku Shahriza Mahmud masih dalam keadaan kritikal. Doktor sudah mengenal pasti jenis bakteria dalam sistemnya.
“Tolong teruskan sokongan dan doa anda untuknya. Tiada sebarang keraguan dalam fikiran saya bahawa dia adalah pejuang. Dia mampu mengatasi perkara ini. Dia selalu ada dan akan sentiasa ada," tulis Saddiq dalam hantarannya itu.
Beberapa media melaporkan, Shahriza dikejarkan ke hospital berkenaan pada tengah malam Ahad selepas didapati meracau selain suhu badannya terlalu tinggi.
Shahriza juga dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke CCU kerana bimbang sekiranya dia dijangkiti COVID-19.
Sementara itu, Saddiq memberitahu portal Malaysiakini yang dia kerunsingan kerana sudah tiga hari tidak dapat bertemu isterinya itu.
Kata Saddiq, dia akan berusaha meminta pertimbangan doktor bagi membenarkannya berjumpa Shahriza berikutan keputusan ujian saringan COVID-19 ke atasnya negatif.
Astro AWANI akan terus mendapatkan perkembangan terbaharu keadaan Shahriza dari semasa ke semasa.
#pelakon Shahriza Mahmud #Shahriza Mahmud #kritikal #Demam panas #meracau #Saddiq Rafali #pelakon 1990-an #ICU #CCU #COVID-19
;