Pelakon Shahriza Mahmud berang layanan 'biadab' petugas hospital
Madiha Abdullah
November 18, 2015 13:07 MYT
November 18, 2015 13:07 MYT
SEORANG pelakon wanita tempatan mengkritik sikap yang ditunjukkan beberapa petugas di sebuah hospital di Negeri Sembilan.
Shahriza Mahmud, antara pelakon yang popular di era 90an, berkongsi kisah yang dialami adiknya yang bersalin dalam usia kandungan kira-kira lima bulan.
Dalam status di akaun Facebook, Shahriza meluahkan rasa tidak puas hati dengan doktor dan jururawat yang bertugas dan menyifatkan mereka sebagai biadab.
Petikan status Shahriza di Facebook.
Ini berikutan sikap yang dipamerkan mereka, selain penggunaan ayat-ayat yang dilihat tidak sesuai diucapkan.
Antara ayat yang digunakan ialah 'kalau tak tahan sakit jangan mengandung'.
Di akhir statusnya, Shahriza menasihatkan agar mereka yang berhasrat untuk menjadi doktor atau jururawat untuk memiliki bukan sekadar ilmu, tetapi juga rasa perikemanusiaan yang tinggi.
Shahriza turut memaklumkan bayi adiknya meninggal dunia kerana lahir tidak cukup bulan.