Pelakon popular India, Vivek dimasukkan ke hospital, keadaan kritikal
Umavathi Ramayah
April 16, 2021 22:52 MYT
April 16, 2021 22:52 MYT
PELAKON popular India, Vivekanandan atau lebih dikenali sebagai Vivek dimasukkan ke Hospital SIMS di Chennai selepas diserang sakit jantung dan keadaannya dilaporkan kritikal.
Insiden itu dilaporkan berlaku dalam tempoh kurang dari 24 jam pelakon berusia 59 tahun itu menerima suntikan vaksin COVID-19, Covaxin.
Times of India yang memetik Naib Presiden hospital terbabit, Dr Raju Sivasamy sebagai berkata, Vivek kini bergantung kepada alat sokongan Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) dan keadaannya membimbangkan.
Menurutnya, Vivek dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira pukul 11 pagi tadi, menjalani pembedahan angioplasti, memasukkan alat sten selepas saluran darah di arteri kirinya tersumbat teruk.
“Ketika dibawa ke wad kecemasan hospital, Vivek dalam keadaan tidak sedar,” katanya di sini pada Jumaat.
Dr Raju memberitahu, para doktor terpaksa mengambil masa kira-kira satu jam untuk melakukan proses angioplasti.
Pelakon komedi terkenal yang pernah membintangi beberapa filem bersama pelakon-pelakon popular seperti Rajinikanth dan Vikram itu menerima suntikan vaksin COVID-19, Covaxin di Tamil Nadu Government Multi Super Speciality Hospital pada Khamis lalu.
Pun begitu, Dr Raju menjelaskan, pemeriksaan awal memdapati serangan itu tiada kaitan dengan suntikan vaksin.
Ujian saringan COVID-19 juga katanya, mendapati Vivek negatif jangkitan itu.
“Kami dimaklumkan, dia mengadu sakit dada pagi tadi sebelum isteri dan anak perempuannya membawanya ke hospital.
“Kami percaya, Vivek diserang sakit jantung ketika dalam perjalanan ke hospital, barangkali ekoran beberapa saluran darah termasuk otak terkesan,” katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha Kesihatan Tamil Nadu, J Radhakrishnan memberitahu, Majlis Penyelidikan Perubatan India mengesyorkan vaksin Covaxin kepada pesakit jantung.
Beliau memberitahu, seramai 830 individu menerima vaksin Covaxin di hospital sama pada Khamis.
Malah katanya, enam lagi individu yang datang bersama pelakon itu turut menerima suntikan itu.
“Jawatankuasa pusat memyarankan vaksin ini kepada mereka yang mempunyai lebih daripada 20 komorbid.
“Apa yang berlaku hari ini adalah satu kemalangan,” tambahnya.
Rathakrishnan turut menjelaskan doktor memaklumkan adalah sesuatu yang sukar untuk saluran darah tersumbat kritikal hanya dalam tempoh 24 jam.
Pelakon itu terkenal pernah membintangi beberapa filem blockbuster seperti Run (2002), Saamy (2003), Perazhagan (2004), Parthiban Kanavu (2003), Anniyan (2005) dan Sivaji (2007).