Pelakon perlu sensitif, industri hiburan tidak perlu melampaui batas - Awie

Bernama
Mac 22, 2022 18:32 MYT
Awie menasihatkan pelakon-pelakon perlu lebih peka dan sensitif dalam melakonkan sesuatu aksi agar tidak bertentangan dengan Islam sekali gus mencetuskan kontroversi. - Gambar BERNAMA
MELAKA: Pelakon dan penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie menasihatkan pelakon-pelakon perlu lebih peka dan sensitif dalam melakonkan sesuatu aksi agar tidak bertentangan dengan Islam sekali gus mencetuskan kontroversi.
Beliau berkata, industri seni dan hiburan tempatan di negara ini tidak perlu berada pada tahap yang terbuka dengan adegan melampaui batas dan tidak bersesuaian terutamanya bagi pelakon Melayu dan beragama Islam.
"Kita duduk Malaysia, insiden (aksi-aksi panas) adalah tidak wajar, tetapi sekiranya mereka berlakon di negara asing itu terpulang kepada mereka.
"Selepas ini kalau boleh pengarah drama atau filem, mereka seeloknya cuba untuk elakkan ada adegan yang berunsurkan seperti itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media bersama Kumpulan Wings bagi program Berbuka Puasa 'Wings Raikan Cinta Ramadan' di sebuah hotel di sini hari ini.
BACA: Adegan 'panas': Zul Ariffin akan disiasat - Annuar Musa
BACA: Adegan 'panas': Zul Ariffin mohon maaf
Sebelum ini industri hiburan tanah air dikejutkan dengan tindakan kontroversi pelakon Zul Ariffin yang memuat naik video dalam media sosial Instagram yang memaparkan "iklan acah" adegan panas sebuah drama sebelum bertindak memadam hantaran tersebut dan membuat permohonan maaf.
Mengulas lanjut Awie yang terkenal dengan watak ikonik Husin dalam filem sekuel "Hantu Kak Limah" berkata, tindakan itu dilihat sebagai "menconteng arang" dan tidak bersesuaian dengan industri hiburan tanah air.
Hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Twitter miliknya membuat kenyataan Zul Ariffin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas membuat hantaran yang menyalahi undang-undang di media sosial.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merujuk kepada penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sementara itu, pada Ramadan yang bakal menjelang, Wings yang dianggotai Awie (vokal), Syam (gitar), Edrie (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) akan tampil dengan program Wings Raikan Cinta Ramadan pada 16 April di hotel berkenaan.
"Persembahan ini lebih kepada persembahan Islamik dan perjuangan kerana lagu-lagu Wings pun banyak berunsur Islamik dan kerohanian seperti "Dari Tuhan, Sayap Illusi, Anugerah" dan lain-lain.
Selain pengisian aktiviti kerohanian di mana ia akan dimulakan dengan sesi tazkirah Ramadan sebelum majlis berbuka puasa, solat jemaah Maghrib, Isyak dan Tarawih, penyerahan sumbangan dari Wings kepada anak-anak yatim atau asnaf seterusnya persembahan Wings selama satu jam setengah," katanya. - BERNAMA
#Awie #Zul Ariffin #pelakon perlu peka #Awie Wings
;