Pelakon perlu bijak dan berilmu - Mat London
Gempak
Januari 4, 2019 08:30 MYT
Januari 4, 2019 08:30 MYT
RAMAI yang mahu jadi pelakon tapi sebenarnya cetek ilmu sehingga gagal menyerlah potensi diri sendiri.
Perkara itu diakui pengarah filem dan drama berpengalaman, Dr Ahmad Ibrahim yang melihat masa depan artis tanah air perlu diserap dengan ilmu asas sebagai pelakon.
Ujarnya, pelakon perlu bijak memasarkan diri untuk menjadi seorang pelakon yang bagus dengan menguasai tiga aspek penting.
"Nak jadi seorang pelakon, apa yang pertama sekali adalah mengasah bakat. Kedua, pandai berkomunikasi dan seterusnya pandai dalam keterampilan," katanya kepada Astro Gempak.
Akuinya, penggunaan media sosial yang meluas pada zaman kini memberi kemudahan pada golongan selebriti untuk meraih perhatian stesen televisyen mahupun produser filem dan drama mendapat pelbagai tawaran kerja.
"Untuk menarik perhatian orang lain, penjagaan imej kena ada. Tidak dinafikan media sosial memainkan peranan sangat penting pada masa kini termasuk dalam menyebarkan produk dalam bisnes," katanya.
Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London juga menyatakan latihan secara profesional menerusi bengkel lakonan memberi kelebihan pada pelakon tidak kira dewasa atau kanak-kanak untuk memperbaiki diri.
Berkongsi pengalaman sebagai penggiat seni, pensyarah filem di Fakulti Filem, Teater dan Animasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini akan mengadakan kursus Asas Lakonan pada 19 dan 20 Januari ini.
Jelasnya, bengkel selama sehari ini yang dianjurkan di bawah Mat London Academy ini memberi fokus pada disiplin dari aspek teknik lakonan, keterampilan diri, komunikasi massa, rundingan imej, memupuk jati diri dan membina keyakinan.
Selain kursus Asas Lakonan, beliau juga menganjurkan kursus Solekan dan Kesan Khas, Asas Pengarahan, Penggambaran dan Suntingan.
Teks oleh: Elrafaei Sapi