Pelakon Lena Dunham turun padang berkempen bersama Hillary Clinton
Syafique Shuib
Januari 9, 2016 20:56 MYT
Januari 9, 2016 20:56 MYT
TINGGAL beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2016, Hillary Clinton kini menggunakan kuasa bintang terkenal ketika berkempen.
Jika sebelum ini Katy Perry menjadi pilihan calon parti Demokratik itu, kini giliran pelakon dan pencipta siri 'Girls'saluran HBO Lena Dunham pula.
Kedua-dua mereka berkempen di New Hampshire dan menghabiskan masa bertemu dengan penyokong Clinton di sana.
Ketika berkempen, Dunham mendedahkan bahawa beliau hanya berminat menceburi politik ketika pelantikan semula Barack Obama pada 2012.
“Saya begitu malu untuk memberitahu ini, tapi ia mengambil masa yang lama untuk saya mula mengundi. Saya sudah layak mengundi lebih dari empat tahun sebelum mengundi buat kali pertama pada 2008.
“Bukan saya tidak kisah […] tetapi sukar untuk saya percaya bahawa suara seorang wanita muda yang hanya perlu pangkah (ketika mengundi) setelah beratur sekian lama akan diambil kira dalam peringkat nasional,” kata Dunham, dipetik dari CNN.com.
Selain itu, Dunham turut mengambil alih akaun Instagram Clinton dan kongsi detik-detik ketika berkempen di New Hampshire.
Ia termasuk gambar bersama bekas pemain bola sepak AS Abby Wamback yang juga merupakan penyokong Clinton.
Pada September 2015, Dunham yang merupakan seorang feminis dan sering memperjuangkan hak wanita pernah menemuramah Clinton untuk Lenny, iaitu sebuah penerbitan dalam talian dimana Dunham bertindak sebagai pengasas bersama.
Pelakon itu mendedahkan akan turun padang bersama Clinton pada Disember lepas.