Pelakon legenda Raquel Welch meninggal dunia
Astro Awani
Februari 15, 2023 05:30 MYT
Februari 15, 2023 05:30 MYT
PELAKON legenda Raquel Welch meninggal dunia Rabu pada usia 82 tahun.
Berita pemergian bintang Hollywood popular itu disahkan ahli keluarganya yang memaklumkan mendiang meninggal dunia selepas menghidap penyakit yang tidak dinyatakan.
Welch menjadi ikon antarabangsa selepas muncul dalam filem pengembaraan fantasi British "One Million Years BC" pada tahun 1966.
Imej seksi Welch dalam filem itu kemudiannya menjadi kegilaan peminat sekali gus meletakkan beliau sebaris pelakon terkenal lain.
Welch, atau nama sebenarnya Jo-Raquel Tejada, dilahirkan di Chicago pada tahun 1940 sebelum menempa kemasyhuran dan status simbol seks menggunakan nama baharunya itu pada tahun 1960-an.
Welch, pemenang anugerah Golden Globe, telah membintangi lebih 30 filem, termasuk "Fantastic Voyage" dan "The Three Musketeers", serta kira-kira 50 siri televisyen dalam kerjayanya yang menjangkau lima dekad.
Peranan utama seterusnya termasuk sebagai watak utama dalam "Myra Breckinridge" (1970), "The Three Musketeers" (1973) dan "The Four Musketeers: Milady’s Revenge" (1974).
Mendiang turut muncul sebagai 'cameo' dalam sitkom TV "Seinfeld" pada tahun 1997.
Welch pernah memenangi anugerah Golden Globe untuk pelakon terbaik dalam komedi atau muzikal bagi filem "The Three Musketeers" di mana dia memegang watak jurusolek ratu.
Sebagai seorang pencinta yoga, Welch kemudiannya melibatkan diri dalam bisnes kesihatan, menerbitkan program kecantikan dan kecergasannya sendiri pada tahun 1984.
Pada tahun 2008, ketika berusia 68 tahun, dia bercerai dengan suami keempatnya Richard Palmer yang 14 tahun lebih muda daripadanya.
Welch masih terus berlakon di penghujung usia di samping mengembangkan perniagaannya.
Mendiang meninggalkan anak lelaki Damon Welch dan anak perempuan Tahnee Welch.