Pelakon komedi filem Appalam, Gunseh meninggal dunia

Umavathi Ramayah
Ogos 8, 2021 19:43 MYT
G. Hemawathy memberitahu, mendiang meninggal dunia kira-kira pukul 4.02 petang, di Hospital Serdang. - Gambar Facebook Gunseh Guna
SERDANG: Pelakon komedi filem Appalam, R. Gunasaharan atau lebih dikenali sebagai Gunseh meninggal dunia petang Ahad pada usia 64 tahun akibat COVID-19.
Berita pemergian mendiang itu disahkan oleh anak perempuannya, G. Hemawathy ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Dia memaklumkan artis veteran itu meninggal dunia kira-kira pukul 4.02 petang, di Hospital Serdang, di sini selepas bertarung nyawa lebih 10 hari.
Menurutnya, mendiang yang disahkan positif COVID-19 sebelum itu diperintah untuk menjalani kuarantin di rumah, dan keadaannya semakin teruk pada hari ke-10.
"Selepas bapa mengadu batuk berterusan dan kesihatannya kurang memuaskan, kami bergegas ke hospital kira-kira pukul 2 pagi," katanya di sini, pada Ahad.
Menurut Hemawathy, pegawai kesihatan memaklumkan mendiang mengalami jangkitan di paru-paru dan mengalami masalah pernafasan sebelum keadaannya menjadi tenat beberapa hari lalu.
"Pun begitu kami sempat membuat panggilan video dengan bantuan kakitangan hospital petang semalam," ujarnya.
Hemawathy memaklumkan, pengebumian akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Mendiang meninggalkan isteri dan empat anak berusia 25 hingga 32 tahun.
Astro AWANI merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
#gunseh #Appalam #meninggal dunia #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #pelakon komedi
;