Pelakon Kanada meninggal dunia akibat 12 pembedahan kosmetik, ingin tampan persis Jimin BTS
Agensi
April 26, 2023 08:15 MYT
April 26, 2023 08:15 MYT
PELAKON popular Kanada, Saint Von Colucci meninggal dunia selepas menjalani 12 pembedahan kosmetik semata-mata untuk menyerupai bintang K-pop, Jimin dari BTS, lapor portal berita Daily Mail.
Colucci menghembuskan nafas terakhir tiga hari lalu pada usia 22 tahun di sebuah hospital di Koea Selatan selepas mengalami komplikasi akibat pembedahan berkenaan yang dilaluinya beberapa bulan lalu.
Ejen publisiti Colucci, Eric Blake memberitahu Daily Mail, artisnya itu mengalami jangkitan akibat pembedahan implan rahang pada November 2022 dan terpaksa menjalani pembedahan pada malam Sabtu lalu untuk mengeluarkannya.
Walaupun prosedur itu tidak berjaya, namun, Colucci tetap dimasukkan ke dalam tabung oksigen sebelum meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Menurut Blake, Colucci telah membelanjakan AS$220,000 (RM978,000) untuk 12 prosedur kosmetik selama setahun terakhir termasuk pembedahan rahang, hidung, wajah, mengecilkan bibir, menaikkan kening serta mata dan pembedahan kecil lain.
Mendiang Colucci juga menyedari risiko akibat pembedahan rahang tetapi masih meneruskan prosedur tersebut kerana beliau sangat "tidak yakin dengan penampilannya".
Colucci berada di Korea Selatan untuk membintangi drama Korea, Pretty Lies.
Menurut Blake, syarikat produksi drama yang membawa pelakon itu ke sana membayar kos penginapan, pengangkutan dan kos sara hidupnya sepanjang menjalani penggambaran.
#Pelakon Kanada meninggal dunia
#Saint Von Colucci meninggal dunia
#12 pembedahan kosmetik
#Jimin BTS