Pelakon Johan As'ari kehilangan ibu tercinta kerana kanser tulang

Gempak
Mei 31, 2015 10:40 MYT
Ibu Johan meninggal dunia akibat penyakit kanser tulang.
Takziah buat pelakon, Johan As’ari yang kehilangan ibu tercinta iaitu Datin Firdaus Abdul Kader yang telah meninggal dunia pada hari Sabtu.
Johan memaklumkan berita sedih tersebut menerusi laman Instagram miliknya kira-kira 12 tengah hari dan meminta agar peminatnya mendoakan yang terbaik buat arwah ibunya.
“Assalamualaikum, dengan rendah hati, Johan ingin memberitahu bahawa ibunda saya yang tercinta, Firdaus Abdul Kader telah kembali ke rahmatullah.
“Mohon sobat-sobat (sahabat) mendoakan yang terbaik untuk ibu saya dan semoga ibunda saya ditempatkan bersama dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” jelasnya.
Ibu Johan diserang penyakit angin ahmar ketika sedang berehat di ruang tamu kediaman mereka di Subang Jaya pada Mac lalu. - Foto Instagram
Terdahulu, pelakon kelahiran Melaka ini pernah mengesahkan ibunya yang berusia 58 tahun menghidap penyakit kanser tulang peringkat empat dan dirawat di Institut Kanser Negara.
Pada bulan Mac yang lalu ibunya diserang penyakit angin ahmar ketika sedang berehat di ruang tamu kediaman mereka di Subang Jaya.
Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan dikafankan di Institut Kanser Negara sebelum dibawa pulang ke kediaman dan dijangka akan dikebumikan di Masjid Al Irsyad USJ 1 selepas solat Asar.
#entertainment #hiburan #Johan Asari #pelakon tempatan
;