Pelakon jelita Dynas kini isteri ahli perniagaan
Sinar Harian
April 22, 2018 13:50 MYT
April 22, 2018 13:50 MYT
SELEPAS hampir empat tahun bergelar ibu tunggal, pelakon dan pengacara, Dynas Mokhtar, 35, selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Shazrik Che Mohd Din, 36, hanya dengan sekali lafaz sekitar pukul 10.50 pagi tadi di kediaman keluarganya di Shah Alam.
Dynas atau nama lengkapnya, Wan Edrinas dinikahkan bapanya, Datuk Wan Mokhtar Wan Mohd, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Khairul Anuar Mulim.
Pada majlis tersebut, Dynas menerima mas kahwin berjumlah RM1001, beserta wang hantaran sebanyak RM30,000.
Pihak lelaki turut menghadiahkan tujuh dulang hantaran, termasuk set barangan kemas serba satu.
Sementara pihak perempuan pula membalas dengan sembilan dulang hantaran termasuk rawatan lasik bernilai RM13,000.
Dynas yang ditemui Sinar Harian meluahkan rasa syukurnya apabila segala yang dirancang bersama suami menjadi kenyataan.
“Sebenarnya kami kenal dah lama tapi sebagai seorang kawan. Saya rasa sangat bersyukur akhirnya kami disatukan sebagai pasangan suami isteri.
“Alhamdulillah apa yang saya doakan hari-hari, kini dimakbulkan Tuhan pada hari ini.
“Kedua-dua anak saya pun gembira dengan perkahwinan ini dan mereka sangat selesa menerima suami daam keluarga kami,” ujar Dynas.
Majlis ijab kabul pasangan ini turut diraikan 150 tetamu yang terdiri daripada keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak.
Tidak ketinggalan rakan-rakan selebriti yang juga merupakan teman rapat Dynas iaitu Yasmin Hani, Sazzy Falak, Daphne Iking, Aishah Sinclair dan Atilia yang bertindak sebagai pembawa dulang. Sementara Scha Alyahya pula menjadi pengapit pengantin.
Majlis resepsi pasangan pengantin akan berlangsung pada 28 April ini di Damansara dan disusuli dengan resepsi kedua di sebuah hotel di ibu negara pada 5 Mei.
Terdahulu Dynas dan pasangan mengikat tali pertunangan pada 28 Oktober lalu sebelum memilih April untuk diijab kabul.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Dynas dikurniakan sepasang cahaya mata, Khyra Khalyssa, 7, dan Mohamed Haqaish, 5.
#berita Malaysia
#Dynas Mokhtar
#kahwin
#keluarga
#Mohamad Shazrik
#pelakon
#Pengacara
#perkahwinan
#shah alam