Pelakon Hugh Jackman dikesan hidap kanser kulit buat kali kedua
Kohilah Sekaran
Februari 10, 2016 17:54 MYT
Februari 10, 2016 17:54 MYT
PELAKON X-Men, Hugh Jackman mendedahkan pertarungannya dengan penyakit kanser kulit buat kali kedua di laman Facebook dengan memberikan peringatan kepada peminatnya agar menggunakan krim pelindung matahari sebagai langkah berjaga-jaga.
Menerusi akaun rasmi Facebooknya, pelakon berusia 47 tahun itu memuat naik sekeping gambar beliau yang menunjukkan hidungnya dibalut pada Isnin lalu.
“Ini adalah contoh apa yang akan berlaku jika anda tidak menggunakan krim pelindung matahari,” katanya.
“Sel basal (sel lapisan luar kulit) merupakan sel kanser yang paling tidak memudaratkan. Tolong pakai krim pelindung matahari dan dapatkan pemeriksaan doktor yang kerap!"
Susulan itu, para peminat melahirkan sokongan terhadap Jackman dengan kata-kata semangat malah ada yang berkongsi kisah berkenaan kanser kulit.
Ini bukan kali pertama pelakon Australia ini dikesan dengan kanser kulit, beliau sebelum ini menjalani rawatan kanser kulit (karsinoma) pada tahun 2013.
Sel basal karsinoma merupakan sejenis sel kanser kulit yang biasa.