Pelakon 'Game of Thrones' cipta rekod angkat beban 501 kg
Afiq Ariffin
Mei 3, 2020 12:20 MYT
Mei 3, 2020 12:20 MYT
SIAPA sangka, bukan sahaja tampil gagah ketika memegang watak dalam drama bersiri Game of Thrones, malah dalam dunia realiti.
Terbaharu, pelakon Hafthor Bjornsson yang memegang watak Ser Gregor "The Mountain" Clegane di dalam siri itu berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara deadlift dengan mengangkat beban seberat 501 kilogram (kg) di Thor Power Gym di Iceland.
Bjornsson berjaya memecahkan rekod 500 kilogram yang sebelum ini dipegang oleh warga Britain, Eddie Hall yang pada tahun 2016.
Ini menjadikan dia lelaki pertama yang mampu mengangkat lebih daripada 500 kg dan sekali gus digelar Manusia Terkuat Dunia.
Acara yang disiarkan secara langsung di saluran ESPN itu menyaksikan Bjornsson, 31, berjaya mengangkat barbel yang kelihatan membengkok selama dua saat, sebelum melepaskannya sambil menjerit gembira.
"Saya percaya hari ini saya boleh melakukan lebih banyak lagi, tetapi apa gunanya?
"Saya gembira dengan pencapaian ini,” kata Bjornsson kepada wartawan ESPN.
Malah, di ruangan komen di YouTube, dia menyatakan tiada perasaan yang lebih gembira daripada membuktikan bahawa orang lain adalah salah.
“Begitu banyak orang tidak mempercayai saya, begitu banyak orang yang mengatakan, saya tidak mampu mengangkat 501 kilogram itu.
“Tetapi saya mendapat banyak sokongan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Bjornsson, yang mempunyai ketinggian setinggi enam kaki dan sembilan inci itu memenangi acara Manusia Terkuat Dunia pada tahun 2018.